Utusan Borneo (Sarawak)

Hasrat ‘Makcik Petir’ berbuka puasa bersama keluarga tidak kesampaian

-

PELAKON Allahyarha­m Noryati Taib yang meninggal dunia awal pagi semalam pernah merancang untuk berbuka puasa bersama seluruh keluarga termasuk adik-beradiknya pada hari pertama Ramadan tahun ini.

Anak ketiga Allahyarha­m Noryati, Faizul Hafiz Hashim, 36, berkata, hasrat untuk berbuka puasa di rumah mereka di Taman Air Biru, Pasir Gudang itu disampaika­n ibunya pada akhir Februari lepas sejurus keluar dari Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail, di Johor Bahru, akibat komplikasi buah pinggang, namun tidak kesampaian apabila meninggal dunia pada 1.45 pagi semalam.

“Lazimnya seluruh keluarga kami termasuk adik-beradik mama (Noryati) berbuka puasa bersama-sama pada hari pertama Ramadan di rumah pusaka keluarga mama di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, Majidee, di sini.

“Namun, dengan keadaan kesihatan arwah mama yang tidak menentu dan sukar bergerak, arwah berhasrat menjemput seluruh keluarga untuk berbuka puasa di rumah kami sahaja di Taman Air Biru,” katanya yang ditemui pemberita selepas selesai pengebumia­n Allahyarha­m ibunya di Tanah Perkuburan Islam

Kebun Teh, di Johor Bahru semalam.

Menyingkap keperibadi­an Allahyarha­m yang terkenal dengan panggilan ‘Makcik Petir’, Faizul Hafiz bekerja sebagai peniaga berkata ibunya adalah seorang sangat kuat berpesan kepada anak-anak dan tidak lagi berhasrat untuk berlakon.

“Dia (Allahyarha­m Noryati) sendiri suka berpesan, dia punya leteran memang kita rindu. Antara yang dia selalu pesan, jangan sakitkan hati orang, jangan tipu orang dan berbaik dengan jiran dan masyarakat. Hari ini pun, ramai jiran dan kariah masjid datang menziarahi dan membantu pengurusan jenazah mama,” katanya.

Faizul Hafiz berkata, Allahyarha­m ibunya mengadu tidak sedap badan kira-kira 12 tengah malam kelmarin sebelum sesak nafas dan menghembus­kan nafas terakhir di sisi suami, Hashim Mohd Yusoff, 65 dan anak bongsu, Ezzahani Hashim, 31.

Menurut Faizul Hafiz, terdapat beberapa rakan artis yang juga anak angkat Noryati sering bertanya khabar dan mengambil berat kesihatan Allahyarha­m ibunya termasuk Sharnaaz Ahmad, Mamat Sepah, Joey Daud serta Along Cham sama ada secara berhubung terus menerusi telefon dengan Allahyarha­m atau menerusi dirinya.

Pada awal Februari lepas, media melaporkan, Noryati yang pernah berlakon dalam drama ‘Sindarela’, ‘SyurgaMu Ramadan’, ‘Dotty’ serta ‘Tari Tirana’ disahkan positif COVID-19 dan kemudian sembuh selepas dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru.

Noryati turut menghidap penyakit kencing manis sehingga sebelah kakinya terpaksa dipotong pada September 2017 di

HSI selain mengalami jangkitan kuman pada paru-paru yang kritikal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia