Utusan Borneo (Sarawak)

Wanita kerugian RM39,000 ditipu sindiket e-dagang beli kenderaan mewah

-

KOTA BHARU: Seorang wanita kerugian RM39,000 selepas menjadi mangsa penipuan berkaitan urusan membeli sebuah kenderaan mewah menerusi media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan Supt Ahmad Azizul Mohamed berkata, laporan berkaitan kejadian penipuan e-Dagang itu diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Tanah Merah, pada 3 April lepas.

Beliau berkata, dalam laporan itu mangsa iaitu seorang peniaga wanita berusia 20-an menyatakan, pada 28 Mac lalu telah melayari media sosial dan tertarik dengan satu ruangan iklan menjual kenderaan terpakai dari sebuah negara jiran.

Katanya, mangsa ingin membeli sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard 3.5 dari Singapura, secara ansuran bulanan.

“Mangsa telah berhubung dengan suspek penjual iaitu seorang lelaki melalui aplikasi Whatsapp dan telah diminta untuk membuat bayaran berjumlah lebih kurang RM17,000 bagi tujuan insurans, cukai jalan dan urusan berkaitan Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ).

“Pada 1 April pula mangsa telah membuat beberapa transaksi bayaran ke satu akaun bank tempatan, dikatakan milik individu pekerja kepada suspek penjual,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata pada keesokan harinya, mangsa telah dihubungi seorang wanita yang mengakui pekerja kepada suspek dan meminta mangsa membuat bayaran RM7,000 ke akaun bank tempatan yang sama, bagi tujuan pendaftara­n dan kos penghantar­an kenderaan tersebut.

“Pada petang yang sama, suspek wanita berkenaan meminta pengadu membuat bayaran deposit RM15,000 ke satu akaun bank tempatan yang lain milik individu yang berbeza dan mangsa terus membuat bayaran tersebut melalui tiga transaksi pindahan wang,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis setelah berasakan tertipu selepas suspek wanita tersebut mendakwa tidak menerima wang pembayaran deposit berkenaan dan meminta mangsa membuat bayaran RM15,000 tersebut secara sekali gus, di dalam satu transaksi sahaja.

Jelasnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan pesalah boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan denda.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia