Utusan Borneo (Sarawak)

LELAKI TUDUH RAKAN AMAL ILMU HITAM MATI DITETAK

-

MUKAH: Gara-gara menuduh rakan senegara mengamalka­n ilmu hitam, seorang lelaki warga Indonesia mati dipercayai ditetak dengan parang.

Kejadian ini dipercayai berlaku di rumah pekerja ladang di Judan, dekat sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata, mangsa dikenali sebagai Mukhlis, 32, berasal dari Ntonggu, Indonesia.

"Pihak polis dimaklumka­n mengenai pekerja warganegar­a Indonesia telah meninggal dunia di rumah pekerja ladang berkenaan sekitar jam 7 pagi semalam," katanya.

Beliau menambah, siasatan polis mendapati mangsa dan suspek tidak mengikuti semua pekerja ladang lain untuk berkumpul di hadapan pejabat ladang pada jam 5.40 pagi.

"Hasil siasatan polis mendapati suspek keluar dari bilik nombor 32 rumah pekerja untuk mengambil sebilah parang yang disimpan dalam lori yang diparkir di kawasan rumah pekerja.

"Semasa suspek keluar dari bilik itu, mangsa dikatakan masih duduk di tangga depan bilik nombor 32.

"Apabila suspek berpatah balik ke bilik nombor 32, mangsa telah menuduh suspek mengamalka­n ilmu hitam menyebabka­n suspek marah dan satu pertengkar­an tercetus di antara mereka berdua," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Bagaimanap­un katanya, suspek menafikan tuduhan mangsa dan bersumpah tidak mengamalka­n ilmu hitam.

Jimmy berkata, mangsa terus menuduh suspek mengamalka­n dan menyimpan ilmu hitam sehingga suspek marah.

"Semasa mangsa masuk ke dalam bilik nombor 32, suspek mengekorin­ya dari arah belakang dengan memegang parang dan terus menetak di bahagian belakang tengkuk mangsa sehingga mangsa rebah di lantai ruang tamu," jelasnya.

Katanya, suspek kemudian melarikan diri menerusi pintu belakang dan bersembuny­i di dalam ladang.

"Kami percaya motif suspek membunuh mangsa kerana mangsa menuduhnya mengamalka­n ilmu hitam," katanya.

Semasa kejadian, hanya suspek dan mangsa berada di tempat kejadian.

Mayat mangsa telah dihantar ke bilik mayat Hospital Mukah untuk bedah siasat.

Suspek dijangka direman hari ini di Mahkamah Majistret Mukah bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," tambah beliau.

 ??  ?? DITANGKAP: Suspek direman kerana dipercayai membunuh rakan sekerjanya.
BARANG KES: Sebilah parang dirampas
dipercayai untuk menetak mangsa.
DITANGKAP: Suspek direman kerana dipercayai membunuh rakan sekerjanya. BARANG KES: Sebilah parang dirampas dipercayai untuk menetak mangsa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia