KWKPK dan UNIMAS Holdings jalin kerjasama penyelidikan dalam menangani isu sosial
KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan KanakKanak (KWKPK) dan UNIMAS Holdings Sdn Bhd menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bagi menjalin kerjasama penyelidikan dalam menangani isu sosial di negeri ini.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datuk Dr Mohd Kadim Suaidi berkata, kerjasama penyelidikan itu akan dapat memberi manfaat kepada keduadua pihak terutama dalam memahami dua isu sensitif yang dihadapi masyarakat masa kini.
Menurutnya, dua isu yang dikaji adalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah menengah serta isu kanak-kanak yang tidak mempunyai status kewarganegaraan.
“Kita mendapati isu tanpa kewarganegaraan dan penyalahgunaan dadah merupakan dua isu yang sama penting untuk diteroka dan dicari jalan penyelesaian secara bersama.
“Dalam keadaan ini semua pihak harus memainkan peranan mereka mengikut kepakaran masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara KWKPK dan UNIMAS Holdings Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, kelmarin.
Majlis menandatangani MoA itu dihadiri Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan KanakKanak Dato Sri Fatimah Abdullah.
Kadim menambah, kumpulan tanpa kewarganegaraan ini mempunyai hak dalam merasai peluang pendidikan dan pembangunan di Sarawak.
“Bagaimanapun akibat daripada kekangan ini, ia menyebabkan mereka sedikit ketinggalan dan secara tidak langsung turut memberi impak kepada perancangan pembangunan modal insan jangka panjang oleh pihak kerajaan negeri.
“Selain itu, masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah turut menjadi antara isu yang meningkatkan kebimbangan dan keresahan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat,” ujarnya.
Menurut beliau, tindakan menuding jari kepada pihak tertentu bukanlah wadah terbaik dalam menangani isu ini dengan lebih berkesan.
“Usaha pencegahan walaupun dalam skala yang kecil sekiranya dijalankan secara berterusan sudah tentu akan membuahkan hasil.
“Justeru, menyedari akan kesan jangka panjang terhadap isu sosial ini terutama kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat di negeri ini, Kerajaan Sarawak melalui KWKPK melaksanakan kajian penyelidikan bersama UNIMAS.
“Oleh itu, kita harap dengan penyelidikan dalam dua isu ini ia dapat membantu KWKPK merangka aktiviti serta program yang bersifat menyeluruh dan efektif selari dengan keperluan kumpulan sasar ini,” ujarnya.
Terdahulu, Fatimah dan Kadim menyaksikan majlis menandatangani MoA di antara Pengerusi Interim UNIMAS Holdings Sdn Bhd Profesor Datu Mohd Fadzil Abdul Rahman dan Setiausaha Tetap KWKPK Dr Rashidah Bolhasan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengurus Besar UNIMAS Holdings Sdn Bhd Dr Abang Ekhsan Abang Othman, Setiausaha Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial (MPS) Dr Zufar Yadi Brendan Abdullah serta tetamu kehormat lain.