Utusan Borneo (Sarawak)

Wilayah dijejas siklon dan banjir di Indonesia mula terima bantuan

-

LEMBATA: Dua kapal tentera laut Indonesia yang membawa bantuan telah tiba semalam di satu bahagian yang dilanda siklon di kepulauan tersebut, ketika angka kematian akibat bencana itu meningkat kepada hampir 180 orang, termasuk beberapa orang yang terkorban di Timor Timur.

Kapal-kapal tersebut berlabuh di pulau Lembata dan Adonara dengan kapal hospital turut dalam perjalanan ke bahagian pulau yang terjejas teruk di timur Indonesia di mana ribuan orang telah kehilangan tempat tinggal dan beberapa yang lain masih hilang.

Hujan lebat dari Siklon Tropika Seroja, salah satu ribut yang paling teruk melanda wilayah itu sejak beberapa tahun, mengubah komuniti kecil kepada kawasan bahan buangan dan lumpur serta menumbangk­an pokok, menyebabka­n ribuan orang meninggalk­an rumah ke tempat perlindung­an ketika ketiadaan bekalan elektrik di semua kawasan.

Ribut pada Ahad lepas telah merobohkan bangunan di beberapa kampung di sepanjang tebing sebuah gunung, dan ke pantai laut di Lembata, di mana salah sebuah kapal bantuan telah tiba semalam.

Kapal tentera laut itu membawa makanan, termasuk beras dan mi, selimut dan barang-barang lain bagi sebahagian daripada lebih 20,000 mangsa di wilayah ini.

“Dua kapal tentera laut telah tiba hari ini,” kata Kompiang Aribawa, ketua pangkalan tentera laut wilayah.

“Sebuah kapal lagi akan tiba pada lewat hari ini membawa anggota tentera yang akan dikerahkan bagi membantu penduduk dalam kejadian susulan selepas bencana,” tambahnya.

Sebuah pesawat kargo berlepas dari Jakarta untuk ke kawasan yang dilanda bencana alam dengan membawa kira-kira 100,000 pelitup muka, kit pemeriksaa­n virus, termasuk makanan yang disediakan dan selimut bagi mangsa yang terselamat, kata ketua agensi bencana Indonesia.

Sekurang-kurangnya 140 orang disenaraik­an maut di Indonesia.

Seramai 37 orang lagi maut di Timor Timur, sebuah negara kepulauan kecil dengan seramai 1.3 juta penduduk diapit oleh Indonesia dan Australia yang dikenali secara rasmi sebagai Timor-Leste.

Lebih 70 orang masih disenaraik­an sebagai hilang, dengan pihak berkuasa agensi bencana mengerahka­n anjing pengesan bagi mencari di bawah timbunan serpihan untuk mayat dan mangsa yang masih hidup. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia