Utusan Borneo (Sarawak)

PKPB DI SARAWAK DILANJUT KE 26 APRIL, 211 KES SEMALAM

-

KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak dilanjutka­n sehingga 26 April berkuat kuasa 13 April ini.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan semalam berkata, pelanjutan tempoh PKPB ini dibuat setelah menilai situasi kes positif yang masih tinggi di negeri ini.

“Hari ini (semalam) terdapat 211 kes baharu COVID-19 dikesan di Sarawak iaitu di Daerah Bintulu (70), Sibu (35), Sarikei (21), Miri (19), Kuching (15), Sri Aman (8), Beluru (7), Kapit (6), Meradong (6) dan Limbang (6).

“Lain-lain kes dikesan di Samarahan (5), Subis (3), Bau (2), Marudi (2) dan masing-masing satu di Lubok Antu, Julau, Serian, Mukah, Dalat dan Tanjung Manis menjadikan jumlah keseluruha­n meningkat kepada 18,707 kes.

“Manakala satu kematian baharu akibat COVID-19 direkodkan menjadikan jumlah kematian meningkat kepada seramai 117 orang,” katanya.

Memperinci­kan 211 kes baharu yang dilaporkan, 131 kes merupakan saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif COVID-19, 45 kes saringan individu dalam kluster aktif sedia ada dan 17 kes saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan.

Manakala, 16 kes lagi merupakan lain-lain saringan di fasiliti kesihatan dan masing-masing satu kes melibatkan individu balik dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan dari negeri lain di Malaysia.

Mengenai kes kematian ke117, ia melibatkan perempuan tempatan berumur 83 tahun yang dimasukkan ke Hospital Miri kerana mengalami gejala demam dan kesukaran bernafas.

“Saringan ujian rT-PCR telah dibuat dan dikesan positif COVID19 pada 28 Mac. Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 7 April,” katanya menambah, kes juga mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi, kencing manis dan dislipidem­ia.

JPBNS turut memaklumka­n terdapat 181 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj iaitu dari Hospital Sibu (49), Hospital Miri (34), Hospital Umum Sarawak (31), Hospital Bintulu (27), PKRC Serian (19), Hospital Sarikei (8), PKRC di bawah Hospital Kapit (5), PKRC di bawah Hospital Sri Aman (5), PKRC di bawah Hospital Mukah (2) dan PKRC Betong (1).

Ini menjadikan jumlah keseluruha­n kes positif COVID-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 15,268 orang atau 81.62 peratus dari jumlah keseluruha­n kes di Sarawak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia