Pembinaan STOLport Bebuling dijangka bermula tidak lama lagi
SPAOH: Pembinaan projek cadangan lapangan terbang landasan pendek (STOLport) Bebuling di sini dijangka dimulakan tidak lama lagi.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas semalam berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menyerahkan dokumen perjanjian pembinaan projek itu kepada penawar tender yang berjaya, iaitu D.A.L Keluarga Realty Cara Raya JV Sdn Bhd di sini, hari ini.
Abang Johari akan mengadakan lawatan ke Spaoh hari ini sebagai sebahagian daripada lawatan program ‘Janji Ditepati’ beliau.
Uggah berkata, pembinaan lapangan terbang yang menelan kos RM108.1 juta itu dijangka memakan masa selama 30 bulan.
“Pada majlis yang sama, beliau (Ketua Menteri) akan menyerahkan dokumen yang sama kepada syarikat lain iaitu Bario Development Corporation Sdn Bhd bagi projek pembinaan jambatan baharu Sungai Paku di Jalan Tanjung Sebekut,” katanya sambil memberitahu ia menjadi jambatan ikonik bernilai RM26.7 juta dan juga dijadualkan siap dalam tempoh 30 bulan.
Terdahulu dalam ucapannya sempena majlis pecah tanah Kompleks Sukan Debak, Uggah yang juga Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, semua projek yang dilaksanakan membuktikan Ketua Menteri tidak hanya mengumumkan sahaja, tetapi telah melaksanakannya.
“Kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) beliau sejak empat tahun lalu telah memfokuskan untuk membawa projek di kawasan luar bandar.
“Beliau mahu membantu penduduk luar bandar dapat meningkatkan taraf hidup mereka. Tumpuan kerajaan seterusnya adalah membantu penduduk luar bandar menjana pendapatan yang baik dari tanah mereka menerusi pertanian moden,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menasihatkan kepada penduduk luar bandar untuk memaklumkan kepada pegawai daerah masing-masing sekiranya mereka mahu menganjurkan perkahwinan, pengebumian dan perhimpunan sosial lain.
Uggah juga mengingatkan mereka yang masih belum mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin COVID-19 agar berbuat demikian.
Katanya di Bahagian Betong, kira-kira 72 peratus daripada populasinya telah mendaftarkan diri untuk menerima vaksin.