Utusan Borneo (Sarawak)

YADIM perlu dana RM50 juta setahun untuk kerja dakwah

-

PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memerlukan dana RM50 juta setahun bagi mengaktifk­an gerak kerja dakwah dalam pelbagai lapangan, kata Yang Dipertua YADIM Nasrudin Hassan.

Beliau berkata, berdasarka­n tahun-tahun sebelumnya, purata dana sumbangan yang diterima YADIM hanya kira-kira RM20 juta.

“Kita perlukan lebih dana untuk bergerak lebih aktif kerana sasaran dakwah kita ada pelbagai segmen seperti penduduk di Sabah, Sarawak, Orang Asli dan asnaf selain turut menyantuni mangsamang­sa bencana alam.

“Selain menyampaik­an dakwah melalui majlis ilmu, tazkirah, street dakwah dan sebagainya, kita juga memerlukan peruntukan untuk program-program melatih pendakwah baharu dan penyebaran risalah tentang Islam kepada masyarakat,” katanya kepada media selepas majlis menandatan­gani perjanjian usaha sama antara YADIM dan MobilityOn­e Sdn Bhd, di sini semalam.

Perjanjian usaha sama YADIM dan MobilityOn­e selama lima tahun itu adalah bagi projek pembanguna­n dan pelaksanaa­n perkhidmat­an teknologi kewangan bagi program penjanaan dana infaq YADIM.

Ketua Pegawai Eksekutif MobilityOn­e Datuk Hussian A Rahman berkata, kerjasama dengan YADIM itu akan memudahkan penderma menggunaka­n pelbagai saluran pembayaran digital untuk menderma kepada badan berkenaan.

Beliau berkata, antara saluran yang telah dikenal pasti ialah pembayaran tanpa tunai melalui terminal e-pos MobilityOn­e, pembayaran dalam talian melalui portal rasmi YADIM dan melalui saluran aplikasi mudah alih.

“Kita jangka tiga bulan daripada sekarang, sistem pembayaran infaq untuk YADIM yang dibangunka­n oleh syarikat kami akan mula beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menyaksika­n pemeteraia­n perjanjian berkenaan dalam ucapan ringkasnya berharap agar usaha sama itu akan menjadikan YADIM lebih gah dan mudah menyampaik­an dakwah dalam pelbagai cara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia