Kaedah lebih efektif perlu kekang penularan COVID-19, kata Jaya Ramba
MIRI: Berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di negeri ini sejak beberapa hari kebelakangan ini, wujud pelbagai pendapat awam yang mahukan kaedah pengekangan lebih efektif daripada pihak berkuasa.
Aktivis masyarakat yang juga salah seorang penulis terkenal di sini, Jaya Ramba memberitahu prosedur operasi standard (SOP) dengan meneruskan sekatan rentas daerah dan bahagian tidak mencukupi.
Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak katanya, perlu mencari dan menguatkuasakan kaedah yang lebih efektif.
“Saya menyarankan kerajaan negeri mengetatkan kebebasan rakyat dan masyarakat di setiap daerah dan bahagian di negeri ini.
“Kalau boleh sekat pergerakan masyarakat hanya dalam radius 20km sahaja di setiap kawasan. Bagi yang turun kerja di tempat yang melebihi jarak, perlu mendapatkan bukti bertulis yang sah daripada majikan,” katanya.
Bercakap kepada Utusan Borneo di sini semalam, beliau berkata ‘kebebasan’ bergerak yang diberi kepada masyarakat, untuk pergi ke satu tempat dari satu destinasi tanpa tujuan yang kukuh, telah menyebabkan kes merebak dan meningkat di negeri ini.
“Apa lagi, ada rakyat yang mendapat i-Sinar telah membelanjakan wang mereka ke tempat-tempat sosial atau membeli-belah tanpa menitikberat SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
“Sejak dua minggu berlalu, kes COVID-19 di Sarawak kian meningkat kerana kelonggaran pergerakan masyarakat, yang pergi ke sana ke mari.
“Jika pergerakan mayarakat ini tidak dibendung, mungkin pertambahan kes COVID-19 dijangka meningkat besar di Sarawak, sedangkan di negeri-negeri lain, kes sudah mulai menurun,” tambah beliau lagi.
Mengenai pemberian vaksin, Jaya berkata, selain barisan depan, beliau mencadangkan kakitangan kerajaan seperti penyampai bil utiliti seperti air dan elektrik ke rumah-rumah juga harus diutamakan.
Begitu juga dengan guruguru di bandar dan luar bandar katanya, sambil menambah pemberian vaksin ini juga harus melibatkan kakitangan di kaunter-kaunter penting seperti jabatan air, elektrik, bank-bank dan jabatan yang sentiasa didatang pelanggan setiap waktu pejabat,
“Saya percaya sekiranya kita terus perhebat dan perketatkan SOP, maka kita juga akan mengatasi peningkatan kes-kes COVID-19,” ujar Jaya lagi.