Tamu Betong ditutup sementara untuk disanitasi
BETONG: Penutupan sementara Tamu Betong merupakan langkah terbaik sejajar dengan keperluan dan keselamatan rakyat.
Setiausaha Majlis Daerah Betong MDB Charlie Keling memberitahu, keputusan untuk menutup pusat jualan produk pertanian itu adalah bagi memberi laluan untuk kerja-kerja sanitasi dan pembersihan kawasan tamu tersebut.
“Mesyuarat bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Betong pada malam Selasa telah memutuskan untuk menutup sementara mulai semalam hingga Sabtu.
“Pusat ini akan beroperasi semula pada Ahad setelah pihak kita menjalankan kerja-kerja sanitasi ke atas kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi berkenaan penutupan sementara Tamu Betong.
Kebimbangan pihak JPBB Betong akan keselamatan rakyatdalamkawasanterbabit setelah melihat beberapa kes yang melibatkan penduduk setempat.
“Berikutan berlakunya kes-kes positif COVID-19 di kawasan setempat dikhuatiri mereka yang positif telah mengunjungi tamu tersebut,” tambahnya.
Dalam pada itu, JPBB Betong telah mengeluarkan arahan penutupan sementara beberapa premis dan tempat ibadah seperti Masjid Jamek, Surau Darul Dakwah Kampung Tengah, Surau Damai Kampung Hilir, Surau Darul Taqwa Kampung Baru, Surau Setia Kampung Baru Hilir dan Surau An-Najah SK Abang Abdul Kadir mulai 14 hingga 17 April ini.
Tiada sebarang operasi dan aktiviti yang dibuka kepada orang awam sepanjang penutupan tersebut.
Ia bagi memberi peluang untuk kerja-kerja sanitasi oleh pihak berkaitan demi menjaga keselamatan penduduk setempat.