MDLBS yakin kawal penularan COVID-19 dengan kerjasama semua
SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) dengan kerjasama semua pihak dan agensi barisan hadapan akan memastikan kes COVID-19 di kawasan pentadbirannya lebih terkawal.
Pengerusinya Sempurai Petrus Ngelai berkata, MDLBS mahu kawasan seliaannya kekal dalam keadaan terkawal dan tidak ada kes-kes terpencil sehingga menyebabkan tindakan yang lebih drastik terpaksa ambil.
Ujarnya, MDLBS dan agensi penguat kuasa seperti polis, tentera dan lain-lain seperti RELA sedang berusaha gigih untuk memastikan penularan wabak COVID19 terkawal dan seterusnya dapat dibendung.
“Jadi buat masa ini, kita harap semua pihak mengambil perhatian yang serius.
“Mana-mana yang tidak perlu keluar dari rumah mereka, haruslah berada di rumah,” katanya semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 16 April hingga 26 April depan yang melibatkan penduduk yang tinggal di kawasan Zon 1 hingga 7 dalam daerah Sibu.
Kawasan tersebut terdiri daripada kawasan Sukun/ Lada, Mantis, Poh Yew, Bukit Lima, Tong Sang, Pusat Bandar dan Tiong Hua.
Menurut Sempurai, Jawatankuasa Tetap Pelesenan dan Perniagaan MDLBS turut memutuskan untuk tidak membenarkan pasar tamu dan pasar malam di Selangau, Stapang dan Sibu Jaya dibuka.
Katanya, walaupun terdapat permintaan untuk membuka pasar tamu dan pasar malam namun MDLBS perlu mengambil pendekatan yang lebih drastik selepas meneliti semula bilangan kes baharu COVID-19.
“Majlis memutuskan untuk mematuhi nasihat dan arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sibu bagi memastikan keselamatan para peniaga dan pelanggan mereka terjamin,” jelas beliau.
Katanya, MDLBS sangat memahami keperluan untuk berniaga bagi menjana pendapatan para penjaja.
Bagaimanapun jelas beliau, keselamatan peniaga dan pelanggan mereka sangat penting sehingga memutuskan untuk menutup sementara kedua-dua sektor tersebut.