Persatuan Pesara Polis Limbang akan terus berkhidmat kepada masyarakat
LIMBANG: Meskipun sudah bersara dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Pesara Polis Cawangan Limbang akan terus berkhidmat kepada masyarakat di sini.
Pengerusinya Roslan Kimin berkata, walaupun tidak lagi berada dalam pasukan polis namun ia bukan halangan untuk mereka terus berbakti.
“Semangat dan rasa bertanggungjawab untuk terus berkhidmat kepada masyarakat masih dalam hati kami walaupun bersara dalam pasukan polis,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan komputer dan mesin fotokopi oleh Pusat Khidmat Wakil Rakyat Ahli Parlimen Limbang di sini semalam.
Simbolik penyerahan itu disempurnakan oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Limbang, Ali Omar.
Roslan memberitahu Persatuan
Pesara Polis Cawangan Limbang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan di samping mengeratkan hubungan kalangan bekas anggota.
Katanya, bagi Bahagian Limbang persatuan itu baru sahaja ditubuhkan pada 2019.
“Alhamdulillah... dalam masa singkat kita sudah mempunyai lebih 50 orang ahli,” jelasnya.
Menurutnya, persatuan ini adalah landasan anggota terus bersama walaupun masing-masing dengan hala tuju hidup yang berbeza.
“Objektif penubuhan tidak lain adalah untuk menjaga kebajikan anggota di samping mengeratkan silaturahim kalangan pesara polis,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan ahli persatuan itu bukan sahaja PDRM malah Polis Gerakan Am (PGA).
“Pelbagai aktiviti serta program kami laksanakan dan sambutan amat memberangsangkan setakat ini,” jelasnya.
Katanya, setakat ini persatuan itu menggunakan sebuah bilik di Pejabat Polis Bahagian untuk beroperasi.
Namun, perancangan jangka panjang adalah untuk mendapatkan sebuah bangunan bagi kegunaan mereka.
“Harapan kami masa akan datang untuk memiliki bangunan persatuan sendiri,” katanya.