Utusan Borneo (Sarawak)

Dua rumah panjang di Pakan dikenakan PKPD 14 hari

-

KUCHING: Dua rumah panjang iaitu Rh Luyoh, Dendang Wak dan Rh Sat, Ulu Kakup di Pakan dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat­kan (PKPD) selama 14 hari.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan berkata, langkah ini dibuat bagi mengekang penularan COVID-19 di dua rumah panjang tersebut.

“PKPD bagi Rh Luyoh, Dendang Wak, Pakan akan bermula dari 16 Mei hingga 1 Jun 2021, manakala PKPD bagi Rh Sat, Ulu Kakup, Pakan

dari 17 Mei hingga 2 Jun 2021,” katanya semalam.

Selain itu, JPBNS turut melanjutka­n tempoh PKPD membabitka­n tiga rumah panjang di negeri ini.

Antaranya Rh Setia, Ulu Minus di Sarikei yang bermula dari 18 hingga 19 Mei 2021 dan Rh Dinggai, Sg Amut Atas, Lubok Pisang di Pakan dari 20 hingga 26 Mei 2021.

Turut dikenakan lanjutan tempoh PKPD ialah Rh Rapit, Sg Kuap, Nyelong di Sarikei dari 19 hingga 21 Mei 2021.

Dalam pada itu, PKPD ditamatkan semalam di Rh

Asin/Rh Bidu, Batu 13, Jalan Engkamop, Pakan; Rh Empeni anak Budom, Lubok Putan, Bintangor, Meradong dan Rh Nawing, Sg Rian, Bintangor, Meradong; Rh Jembu anak Ensor, Rantau Sukat Roban, Betong dan Rh Sibat, Penurin, Betong.

Mengenai status daerah bagi kawasan jangkitan COVID-19 di negeri ini, JPBNS berkata, daerah Marudi telah kembali ke status Hijau semalam setelah tiada kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas.

Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Hijau telah meningkat kepada lima daerah.

“Selain Marudi, daerah yang berstatus Hijau ialah Simunjan, Asajaya, Telang Usan dan Kabong,” katanya.

Manakala daerah Julau pula telah kembali ke status Kuning daripada Jingga selepas merekodkan hanya 17 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.

“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus Jingga telah menurun kepada satu daerah dan daerah berstatus Kuning sebanyak lapan daerah. Manakala, 26 daerah lagi kekal berstatus Merah,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia