Utusan Borneo (Sarawak)

Orang ramai tidak boleh rentas daerah bermula 27 Mei

- Oleh Yap Siong Han

KOTA KINABALU: Larangan aktiviti rentas daerah akan dilaksanak­an semula pada 27 Mei sehingga 3 Jun depan walaupun kini kerajaan hanya melaksanak­an sekatan rentas mengikut Zon.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pada 27 Mei depan, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang akan dikategori­kan semula sebagai satu daerah.

“Dalam tempoh tersebut, PDRM akan melaksanak­an sekatan jalan raya (SJR). Pengguna jalan raya yang diberikan permit oleh PDRM atau dokumen sah kebenaran merentas daerah sahaja yang akan dibenarkan meneruskan perjalanan ke daerah yang hendak dituju.

“Masyarakat adalah dinasihatk­an agar tidak mengambil risiko untuk mencuba nasib merentas daerah kerana PDRM akan mengambil tindakan untuk mengarahka­n berpatah balik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Beliau berkata, tujuan larangan aktiviti rentas daerah adalah semata-mata untuk mengawal pergerakan individu dan mengurangk­an kontak fizikal bagi membendung penularan COVID19 di Sabah.

Dalam pada itu, Masidi berkata terdapat satu kluster baharu dicatatkan pada 16 Mei iaitu Kluster Jalan Menteri di Kota Kinabalu dan Penampang.

“Kluster itu merekodkan jumlah kumulatif sebanyak sembilan kes dengan dua kes didaftarka­n di daerah Kota Kinabalu, manakala baki tujuh kes di Penampang.

“Kes indeks merupakan suri rumah, 48, yang disahkan positif melalui RT PCR pada 10 Mei selepas mengalami gejala dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu,” katanya.

Menurutnya, saringan kontak rapat yang dijalankan oleh pasukan kawalan kemudian mendapati lapan lagi kes positif COVID-19.

Katanya, berdasarka­n siasatan awal, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri mesyuarat keagamaan pada 28 April dan 5 Mei di Tingkat 1, Pusat Paroki Gereja Sacred Heart, Jalan Menteri Kota Kinabalu.

“Aktiviti kawalan dan pengesanan kontak masih giat dijalankan,” katanya.

Sementara itu katanya, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada 16 Mei adalah sebanyak 87 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,349 kes.

Katanya, tiada kes kematian direkodkan dan jumlah pesakit COVID-19 sembuh ialah 48 orang menjadikan jumlah kumulatif 58,216 orang.

“Seramai 522 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 224 orang di hospital dan 298 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam.

“Bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi pula ialah 37 orang dan 22 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia