Utusan Borneo (Sarawak)

Rasuah: Bekas ketua pendakwa raya Albania dihukum penjara dua tahun

-

TIRANA: Bekas ketua pendakwa raya Albania kelmarin dijatuhkan hukuman penjara selama dua tahun bagi kesalahan rasuah, menurut sebuah mahkamah khas antirasuah.

Keputusan menunjukka­n bahawa Adriatik Llalla, pernah menjadi salah seorang lelaki paling berkuasa dan digeruni di Albania, memberikan maklumat palsu mengenai aset haramnya.

Ia termasuk sebuah apartmen di bandar tepi pantai Durres dan tanah seluas lebih dua hektar, yang mana jumlah keseluruha­n melebihi 8 juta euro.

Mahkamah menetapkan bahawa Llalla “tidak dapat menjelaska­n” di mana dia memperoleh­i wang bagi membeli hartanah tersebut.

Selain dipenjarak­an, dia turut diharamkan dari memegang sebarang jawatan awam selama lima tahun akan datang.

Llalla merupakan pegawai awam paling kanan yang dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Khas untuk Jenayah Terancang dan Rasuah, sebuah institusi baharu ditubuhkan pada 2019 sebagai sebahagian daripada usaha Albania yang sukar bagi membersihk­an bahagian kehakimann­ya yang dicemari dengan rasuah.

Di bawah tekanan dari Kesatuan Eropah (EU), negara Balkan itu telah mengarahka­n kira-kira 800 hakim dan pendakwa raya agar mengisytih­arkan aset mereka dalam usaha untuk membantera­s kegiatan rasuah.

Kira-kira 20 hakim kanan telah meletakkan jawatan bagi mengelakka­n penjelasan tersebut.

Bekas pendakwa raya Llalla dan keluargany­a telah dihalang dari memasuki Amerika Syarikat (AS) pada 2018 disebabkan oleh “penglibata­nnya dalam kegiatan rasuah yang ketara”, menurut Jabatan Negara pada masa itu.

Pensabitan Llalla muncul hanya sehari selepas Jabatan Negara AS pada Rabu lepas menyekat bekas Perdana Menteri Albania Sali Berisha dari pergi ke AS, sekali lagi disebabkan oleh kaitannya dengan “kegiatan rasuah yang ketara.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia