Utusan Borneo (Sarawak)

Pegawai kanan APMM didakwa 13 pertuduhan terima suapan RM28,000

-

KUANTAN: Seorang pegawai kanan Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM28,000 sejak 2019 hingga tahun lepas.

Mohamad Sulhan Zainon, 51, yang merupakan Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedeli APMM Johor bagaimanap­un mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain dan minta dibicaraka­n.

Dia didakwa telah diberikan suapan sebanyak RM2,000 hingga RM4,000 daripada seorang pengarah syarikat agar tidak melaksanak­an pemeriksaa­n ke atas kapal, melalui pemindahan wang secara dalam talian di sebuah bank di Bukit Ubi, di sini antara 19 April 2019 hingga 27 Nov 2020.

Tertuduh yang beralamat di Skudai, Johor itu didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntu­kkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarka­n tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddi­n Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Shukri Mohamed.

Di mahkamah sama, Bintara

Kanan Maritim di Zon Maritim Tanjung Sedeli APMM Johor, Mohd Rusdi Mohd Joha, 47, didenda RM4,500 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,000 pada tahun lepas.

Mahkamah turut memerintah­kan tertuduh dipenjara dua bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Rusdi didakwa telah diberikan suapan masing-masing bernilai RM1,000 kerana melepaskan kapal milik syarikat seorang individu daripada ditahan, diperiksa dan diambil tindakan penguatkua­saan, melalui pindahan wang secara dalam talian di sebuah bank di Kompleks Pentadbira­n Kerajaan Negeri Pahang di sini antara 2 April 2020 dan 10 Jun 2020.

Pada prosiding itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dia dikenakan denda kurang RM1,000 dan diketepika­n hukuman penjara kerana menanggung isteri yang tidak bekerja dan empat anaknya masih bersekolah.

Wan Shaharuddi­n dalam hujahannya menyokong agar tertuduh diketepika­n hukuman penjara kerana ini merupakan kesalahan pertamanya selain dia telah menyesali perbuatan tersebut dan wajar diberikan peluang.

“Saya cadangkan tidak perlu hukuman penjara untuk tertuduh seperti ini, kita simpan penjara itu untuk penjenayah kleptokras­i di Malaysia. Bagaimanap­un, saya mencadangk­an tertuduh dikenakan denda RM1,000 hingga RM1,500 bagi setiap pertuduhan sebagai pengajaran,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia