Utusan Borneo (Sarawak)

Naik perahu untuk dapatkan vaksin di Bawang Assan, pedalaman Sibu

-

SIBU: Seawal matahari terbit Sim Jiunn Tie, 26, dan beberapa penduduk rumah panjang di Linjai, Batang Lassa sudah berkumpul di jeti untuk menaiki perahu.

Berpakaian serba ringkas sebagaiman­a orang kampung lain dengan membawa sedikit bekalan makanan dan minuman, mereka bertolak jam 7 pagi menyusuri Batang Lassa sebelum memasuki Batang Lebaan untuk ke Dewan Masyarakat Bawang Assan, 34 kilometer (km) dari bandar Sibu.

Mereka menempuh perjalanan menggunaka­n perahu selama satu jam untuk mendapatka­n suntikan vaksin COVID19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bawang Assan, di dewan itu.

“Kami menggunaka­n perahu sebab tidak ada jalan untuk ke sini,” katanya kepada BERNAMA selepas menerima dos pertama suntikan vaksin Sinovac di PPV tersebut semalam.

Menurut beliau, setibanya di pusat itu sudah ramai penerima vaksin dari rumah panjang lain berkumpul untuk menunggu giliran mereka kerana telah bertolak seawal jam 5 pagi juga menggunaka­n perahu.

Ada rumah panjang yang terlibat dihubungka­n dengan jalan-jalan ladang kelapa sawit, yang hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda, sesuatu yang dimiliki hanya oleh segelintir penduduk di luar bandar.

Pemberian vaksin COVID-19 secara bergerak oleh Pasukan ‘Outreach’ Vaksinasi COVID-19 Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) ke kawasan luar bandar di Sibu, dianggap satu kaedah terbaik bagi memudahkan rakyat mendapatka­n imunisasi tersebut.

“Sangat baik bagi kami yang tiada jalan mahupun kenderaan, memang sukar untuk kami turun ke bandar Sibu. Sekiranya menggunaka­n perahu, memakan masa dua jam untuk sampai ke bandar,” katanya.

Sim adalah salah seorang daripada lebih 230 penerima vaksin setakat tengah hari semalam, dari 11 rumah panjang di kawasan Bawang Assan yang hadir ke PPV itu.

Menurut penyelaras PPV Bawang Assan Penolong Pegawai Perubatan David Japang, seramai 1,345 penduduk berdekatan PPV itu telah menerima suntikan vaksin COVID-19 sejak Sabtu lalu.

Penerima vaksin ini terdiri daripada penduduk 37 rumah panjang di Bawang Assan, yang telah didaftarka­n secara manual oleh ketua rumah panjang dan senarainya telah diserahkan kepada Pejabat Residen Sibu sebelum itu.

“Mereka yang tersenarai diminta hadir mengikut jadual yang ditetapkan. Kita suntik dulu dan daftar kemudian (penerima-penerima vaksin itu),” katanya sambil menambah, sasaran PPV itu adalah untuk memberikan vaksin kepada 500 orang setiap hari.

Beliau berkata, ada juga yang tidak tersenarai dan hadir di sebelah petang secara datang terus untuk menerima suntikan namun jumlah mereka tidak ramai.

David berkata PPV itu akan berada di Bawang Assan sehingga esok, sebelum berpindah ke Durin kira-kira 40km dari sini, bagi pemberian vaksin kepada penduduk di kawasan itu.

Beliau menyeru agar penduduk di Bawang Assan yang belum menerima vaksin untuk hadir di PPV itu esok.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia