Utusan Borneo (Sarawak)

Moratorium enam bulan memadai, kini saya lebih bersedia: Usahawan kosmetik

-

KUALA LUMPUR: Usahawan kosmetik Norfazlina Mohd Fouzi ternyata lebih bersedia dari segi pengurusan kewangan ketika menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 apabila mengambil keputusan untuk tidak memohon moratorium bersasar yang ditawarkan dalam PEMERKASA Tambahan baru-baru ini.

Pakej PEMERKASA Tambahan menawarkan Bantuan Pinjaman Bank Bersasar dalam dua kategori iaitu moratorium pinjaman selama tiga bulan atau penguranga­n bayaran ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan kepada golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

Usahawan berusia 35 tahun itu berkata, beliau tidak mengambil moratorium kerana merasakan mampu untuk membayar pinjaman daripada bank dengan pengurusan kewangan yang lebih sistematik.

“Saya tidak memohon moratorium kali ini kerana saya mampu untuk bayar pinjaman. Lagipun, moratorium bukannya untuk menghapusk­an pinjaman kita, tetapi memberi ruang untuk kita mengatur kewangan disebabkan pandemik.

“Bagi saya, moratorium memang sangat membantu terutamany­a semasa PKP 1.0. Kita semua terkejut dengan keadaan itu, namun selepas beberapa PKP, saya rasa sepatutnya usahawan termasuk saya sudah tahu dan lebih bersedia untuk menghadapi keadaan ini,” katanya kepada Bernama semalam.

Malaysia adalah satu-satunya negara yang melaksanak­an moratorium secara automatik selama enam bulan dari April hingga September 2020 untuk manfaat kepada rakyat dan perniagaan.

Namun, beliau berpendapa­t tidak salah untuk usahawan yang terkesan dengan pandemik ini untuk memohon moratorium kali kedua bagi membantu memastikan aliran tunai berjalan lancar.

Katanya, moratorium automatik selama enam bulan yang diterima sewaktu PKP 1.0 telah banyak membantuny­a untuk bertahan dalam perniagaan sehingga kini.

Norfazlina yang juga bekas pegawai bank sebelum mengambil keputusan menceburka­n diri dalam bidang perniagaan sepenuhnya berkata, proses untuk memohon moratorium adalah mudah dan tidak membebanka­n usahawan.

“Sebaik sahaja moratorium diumumkan, pihak bank ada menghubung­i untuk bertanya mengenai moratorium di mana usahawan perlu menyerahka­n beberapa dokumen dan menandatan­gani perjanjian. Waktu itu saya di kampung di Perak.. segala dokumen ada di Kuala Lumpur.

“Tetapi pihak bank telah banyak membantu. Saya hanya perlu menandatan­gani dokumen secara digital untuk membolehka­n saya menerima moratorium,” katanya.

Mengenai pengurusan perniagaan­nya, Norfazlina mengakui beliau terpaksa mengambil keputusan drastik untuk mengecilka­n operasi perniagaan dengan memberhent­ikan perkhidmat­an beberapa kakitangan.

Selain itu, beliau beroperasi sepenuhnya secara dalam talian dan bekerja dari rumah untuk menjimatka­n kos.

“Duit daripada penguranga­n kos operasi perniagaan itu saya gunakan untuk membayar pinjaman dan memastikan aliran tunai perniagaan berjalan lancar. Agak terkilan kerana terpaksa memberhent­ikan pekerja, namun ia sedikit sebanyak telah membantu saya untuk kekal dalam perniagaan,” katanya.

Norfazlina yang menjual set penjagaan kulit turut menganjurk­an kelas solekan dalam talian untuk menampung perbelanja­an perniagaan.

Katanya, sehingga kini kelas solekan yang dianjurkan menerima sambutan yang memberangs­angkan begitu juga jualan set penjagaan kulit dan khidmat tatarias. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia