Garis panduan penempatan atas air perlu dirangka elak risiko kebakaran
KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melihat wujud keperluan untuk merangka garis panduan lengkap berhubung penempatan atas air bagi mengelak risiko kebakaran berulang yang memusnahkan banyak rumah dan menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan itu.
Pengarah JBPM Sabah Md Ali Ismail berkata garis panduan itu penting bagi memastikan pembinaan rumah di perkampungan berkenaan benar-benar memenuhi spesifikasi keselamatan kebakaran termasuk dalam aspek struktur serta pemilihan bahan binaan.
Beliau berkata ancaman kebakaran di perkampungan atas air di Sabah tidak mustahil akan berlarutan berikutan pembinaan rumah di kawasan itu ketika ini masih tidak terancang serta tidak mengikut prosedur dan standard yang betul.
“Saya akan berjumpa dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk membincangkan perkara ini supaya sekiranya (penduduk perkampungan atas air) ingin membina rumah, mereka perlu berpandukan kepada garis panduan tersebut agar kebakaran besar dapat dibendung,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata garis panduan itu antara lain merangkumi susun atur penempatan, selain pembinaan jambatan konkrit yang dapat menghalang api daripada terus merebak dan digunakan sebagai tempat meletak alat kebombaan ketika operasi memadam kebakaran dijalankan.
Md Ali berkata pili bomba dan sumber air alternatif juga perlu diwujudkan kerana kebanyakan kawasan perkampungan atas air di luar pantai tidak dilengkapi kemudahan itu, malah masih terdapat permasalahan sumber air dan kelemahan sistem saluran air untuk keperluan domestik di situ.
Dalam pada itu, Md Ali berkata, JBPM Sabah turut mengambil beberapa langkah pencegahan dan keselamatan kebakaran bagi membendung peningkatan kes-kes kebakaran di perkampungan atas air di negeri ini.
Ini termasuk mengemas kini rancangan prakebakaran serta perancangan luar jangka bagi kawasan itu, dan dalam masa sama, mempersiapsiagakan operasi pemadaman kebakaran dengan mempertingkatkan kemahiran pegawai menerusi latihan, katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya berkata penduduk perkampungan atas air juga diharap dapat mengawal pembinaan rumah mereka supaya tidak menimbulkan lagi risiko kebakaran lebih besar.
Katanya, kerajaan Sabah juga perlu menekankan usaha menyusun semula penempatan perkampungan atas air di negeri itu dalam usaha mewujudkan perumahan lebih teratur dan selesa untuk kesejahteraan rakyat. — Bernama