Utusan Borneo (Sarawak)

Pengamal perubatan swasta dijangka dapat beri 145,000 suntikan bulan depan

-

PUTRAJAYA: Pengamal perubatan swasta yang terlibat dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, dijangka dapat memberi 145,000 suntikan vaksin COVID-19 sehari bermula bulan depan (Julai), kata Menteri Penyelaras program Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, lebih 430,000 dos vaksin COVID-19 diberikan kepada pengamal perubatan swasta yang berdaftar di bawah ProtectHea­lth Corp Sdn Bhd, untuk digunakan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, setakat Jumaat lepas.

“Pengamal Perubatan Swasta akan menyumbang­kan 60,000 dos sehari minggu ini dan akan meningkat ke 78,000 sehari pada 23 Jun. Jangkaan kami pengamal perubatan swasta akan dapat menguruska­n 145,000 dos sehari bulan depan (Julai),” katanya.

Bercakap dalam sidang media perkembang­an Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan di sini semalam bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Khairy berkata bayaran RM14 diberikan kepada pengamal perubatan swasta dan RM1 dibayar kepada ProtechHea­lth iaitu syarikat di bawah Kementeria­n Kesihatan (KKM), untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan itu.

“Pembayaran kepada ProtectHea­lth adalah untuk melaksakan program antara lainnya seperti latihan, pembanguna­n sistem proprietar­i, mendaftark­an pengamal perubatan swasta dan memantau aktiviti vaksinasi,” katanya.

Khairy dalam pada itu berkata sebanyak enam pusat pemberian vaksin (PPV) bersaiz mega telah dibuka di seluruh negara dan seramai 30,000 orang dapat divaksinas­i setiap hari di enam PPV mega itu.

Dalam pada itu Dr Adham dalam kenyataan semalam memaklumka­n, penyertaan pengamal perubatan swasta masih dibuka khususnya untuk berkhidmat di pusat saringan COVID-19 dan PPV mengikuti lokaliti berhampira­n di seluruh negara.

“Penyertaan ini selaras dengan pendekatan ‘whole of government, whole of society’ dan diharapkan akan mempercepa­tkan lagi usaha kerajaan untuk memastikan pencapaian status imuniti kelompok dan seterusnya berjaya melandaika­n keluk penularan pandemik COVID-19 di negara ini,” katanya.

Pendaftara­n boleh dibuat dengan melayari portal KKM di http://www.moh. gov.my - Iklan Pembelian Perkhidmat­an Doktor Pakar Swasta dan Doktor Swasta Secara Kontrak Dalam Tempoh Penularan Wabak COVID-19. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia