Utusan Borneo (Sarawak)

PdPR: Calon SPM 2021 paling terkesan

-

KUALA LUMPUR: Setelah berakhirny­a cuti pertengaha­n tahun, pelajar kembali menyambung sesi Pengajaran dan Pembelajar­an di Rumah (PdPR) pada minggu ini, susulan penularan kes COVID19 yang masih tinggi dan di tahap membimbang­kan.

Pada situasi semasa, PdPR adalah kaedah terbaik bagi mengurangk­an risiko jangkitan dalam kalangan pelajar berikutan wujudnya beberapa kluster institusi pendidikan selain trend terbaharu jangkitan dalam kalangan kanakkanak melalui gelombang ketiga yang dilaporkan.

Walaupun kebanyakan ibu bapa berasa lega apabila PdPR disambung untuk tempoh 25 hari lagi namun timbul juga kebimbanga­n sekiranya tempoh pembelajar­an itu berlanjuta­n dalam tempoh lebih lama lagi.

Jika berlanjuta­n, sudah pasti memberi cabaran besar terutamany­a kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaa­n Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, memandangk­an sejak tahun lepas lagi mereka kurang mendapat peluang belajar secara bersemuka di sekolah berikutan penularan pandemik itu.

Berbeza dengan pelajar SPM 2020, mereka berpeluang menjalani sesi persekolah­an secara fizikal ketika tingkatan empat dan hanya menghadapi kemelut pembelajar­an ketika memasuki tingkatan lima.

Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling) Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Syed Mohamad Syed Abdullah mengakui pihaknya menerima banyak rungutan mengenai kebimbanga­n terhadap isu kaedah pembelajar­an berkenaan.

Beliau berkata berdasarka­n tinjauan dan pemerhatia­n dilakukan, kebanyakan ibu bapa, biarpun berasa lega dan selamat apabila anak-anak mereka berada di rumah, namun pada masa sama bimbang jika PdPR berlangsun­g dalam tempoh lebih lama.

“Memang, pelajar SPM 2021 adalah golongan paling terkesan ketika ini.

“Kerisauan ibu bapa adalah lebih kepada ketidakpas­tian sama ada anak mereka faham atau sebaliknya apabila belajar secara PdPR selain dilihat tidak bersemanga­t kerana pelbagai masalah atau kekangan dihadapi ketika belajar secara dalam talian,” katanya.

Dalam polemik ini, Syed Mohamad melihat ia masih lagi berkait isu pergelutan tempoh penyesuaia­n ibu bapa serta pelajar dalam PdPR kerana ibu bapa masih berpandang­an sesi secara bersemuka di sekolah amat penting dalam membantu mendapatka­n pembelajar­an lebih baik.

Justeru, dalam menangani faktor kebimbanga­n serta kelesuan motivasi dalam kalangan pelajar khususnya calon SPM 2021, pendekatan sebaiknya pada masa ini adalah menjadikan kejayaan serta semangat pelajar SPM 2020 sebagai satu indikator buat mereka untuk lebih fokus dan kekal berdaya juang.

“Mereka tidak perlu bimbang atau down tetapi sebaiknya mengambil semangat abang, kakak SPM 2020 yang mendapat keputusan cemerlang meskipun dalam situasi pembelajar­an tidak menentu menerusi PdPR, maksudnya ia bukanlah penghalang meraih kejayaan.

“Sebenarnya, mereka yang SPM 2020 berhadapan cabaran lebih sukar memandangk­an tengah belajar secara tiba-tiba pengoperas­ian sekolah bertukar kepada kaedah PdPR dan ketika itu kita sedia maklum pelbagai masalah dihadapi disebabkan ia masih baharu,” katanya.

Biarpun mengakui masih terdapat beberapa masalah dalam melaksanak­annya, namun usaha menambah baik yang dilakukan oleh Kementeria­n Pendidikan (KPM) mahupun guru telah memastikan pengajaran PdPR lebih menarik bagi meningkatk­an penerimaan pelajar.

Kalau dilihat secara logik, calon SPM 2021 sebenarnya mempunyai ‘kelebihan’ kerana telah didedahkan awal dengan PdPR dan pengalaman tersebut pastinya membantu memudahkan mereka untuk mengadapta­sikannya dengan lebih baik.

Malah, beliau percaya KPM dan pihak sekolah mempunyai pelan dan strategi sekiranya kaedah pembelajar­an secara dalam talian ini berlanjuta­n lebih lama berdasarka­n pengalaman yang ditempuh sebelum ini.

Pelbagai alternatif dalam melaksanak­an PdPR turut dijalankan yang mana tidak hanya tertumpu secara dalam talian sahaja. Ini termasuk saluran televisyen pendidikan seperti DidikTV serta penglibata­n pelbagai agensi lain dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang turut membantu memastikan sesi pembelajar­an PdPR kali ini adalah lebih baik berbanding sebelumnya.

“Walaupun bertambah baik, keberkesan­an PdPR masih perlu dibuat kajian lanjut oleh KPM bagi mengenal pasti pelbagai kelomponga­n, kekurangan, supaya dapat diatasi segera. Kita mungkin tidak dapat membuat penambahba­ikan sekali gus, tetapi usaha ini perlu dipertingk­at dari semasa ke semasa seperti membantu golongan B40 dalam pelajaran,” katanya.

Sementara itu, Pakar Psikologi Universiti SEGI Prof Datin Dr Mariani Md Nor berpandang­an KPM boleh menggunaka­n DidikTV dengan sasaran lebih menyeluruh untuk mengetenga­hkan program yang dapat membantu mengurangk­an tekanan pelajar.

Mariani berkata menerusi saluran televisyen, pihak sekolah, guru dan ibu bapa boleh memainkan peranan masing-masing dalam ekosistem pandemik pada masa kini bagi memastikan emosi dan minda pelajar stabil.

‘’Dengan situasi belajar di rumah, saya cadangkan supaya khaskan satu episod di DidikTV untuk kita wujudkan bengkel atau webinar yang boleh membantu dan mendidik pelajar agar mereka tenang dan lebih positif dalam mendepani cabaran menghadapi pandemik.

‘’Guru bukan hanya mengajar sebaliknya boleh membimbing. Tampilkan guru bimbingan dan kaunseling yang boleh memberi khidmat nasihat kepada pelajar,’’ katanya. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? TERKESAN: Calon SPM 2021 Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda Azrie Rafie, 17, dilihat kembali mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajar­an di Rumah (PdPR) selepas berakhirny­a cuti pertengaha­n tahun ketika tinjauan di Kampung Batu Muda semalam.
— Gambar Bernama TERKESAN: Calon SPM 2021 Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda Azrie Rafie, 17, dilihat kembali mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajar­an di Rumah (PdPR) selepas berakhirny­a cuti pertengaha­n tahun ketika tinjauan di Kampung Batu Muda semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia