Utusan Borneo (Sarawak)

Rasuah: Pejabat presiden Costa Rica digeledah

-

SAN JOSÉ: Penyiasat Costa Rica kelmarin melakukan 57 serbuan, termasuk ke atas pejabat Presiden Carlos Alvarado Quesada, dalam operasi pembersiha­n terhadap skim rasuah dan wang suapan melibatkan beberapa syarikat pembinaan dan kerja awam.

Seramai 28 orang ditahan, termasuk pemilik sekurangku­rangnya dua firma pembinaan besar.

Walter Espinoza dari pejabat Siasatan Kehakiman berkata, skim itu melibatkan bonus dan pembayaran yang tidak sepatutnya kepada kakitangan kerajaan yang dibiayai oleh beberapa firma pembinaan swasta.

Rangkaian tersebut dikatakan menggelapk­an kira-kira AS$125 juta antara 2018 dan 2020, menurut pihak berkuasa.

Rasuah bagi kakitangan kerajaan dari beberapa syarikat pembinaan yang secara rutinnya memenangi bidaan dikatakan termasuk kereta, tanah dan wang tunai.

Polis menyerbu 14 biro kerajaan, termasuk Casa Presidenci­al dan Kementeria­n Kerja Awam, serta beberapa syarikat swasta dan kediaman 21 orang yang dikaitkan dengan rangkaian berkenaan.

Sebahagian yang ditangkap bekerja untuk MECO S.A., sebuah syarikat pembinaan utama tempatan yang mempunyai operasi di Nicaragua, Panama, El Salvador dan Colombia.

Pegawai MECO dalam satu kenyataan berkata, mereka akan bekerjasam­a dengan pendakwa raya dan menyerahka­n semua dokumen yang diperlukan.

Turut diberkas adalah beberapa suspek yang dikaitkan dengan H. Solis, sebuah lagi syarikat pembinaan terkenal.

Satu kenyataan dari pejabat presiden menyatakan pihak berkuasa akan bekerjasam­a dengan siasatan itu. Beberapa ejen berada di Casa Presidenci­al mencari bukti selama lima jam. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia