Utusan Borneo (Sarawak)

Ibu tunggal dakwa dirogol polis, dihadap ke mahkamah tuduhan edar dan miliki dadah

-

KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal yang mendakwa dirinya dirogol seorang pegawai polis semasa dalam tahanan, semalam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, di sebuah rumah awal bulan ini.

Wanita yang berusia 28 tahun itu didakwa melakukan kesalahan tersebut bersama bekas suaminya yang berumur 29 tahun. Mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah disyaki jenis methamphet­amine seberat 61 gram (g) di sebuah rumah di Kampung Bunut Payong dekat sini pada 4.20 petang, 4 Jun lepas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntu­kkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mereka juga dituduh memiliki dadah jenis sama dengan berat 13.6g pada tempat, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebatan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala wanita dan lelaki itu tidak diwakili peguam dan 15 Ogos ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Pada 9 Jun lepas, dilaporkan seorang pegawai polis ditahan reman bagi membantu siasatan kes seks oral dan rogol melibatkan ibu tunggal itu di sebuah bilik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, pada 5 Jun lalu. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? TERTUDUH: Ibu tunggal yang mendakwa dirinya dirogol seorang pegawai polis semasa dalam tahanan, semalam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kota Bharu atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, di sebuah rumah awal bulan ini.
— Gambar Bernama TERTUDUH: Ibu tunggal yang mendakwa dirinya dirogol seorang pegawai polis semasa dalam tahanan, semalam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kota Bharu atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, di sebuah rumah awal bulan ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia