Utusan Borneo (Sarawak)

Pandangan pemimpin politik dibincangk­an Raja-Raja Melayu hari ini

-

KUALA LUMPUR: Pandangan yang dikemukaka­n pemimpin politik ketika sesi menghadap Yang diPertuan Agong sejak Rabu lepas hingga semalam akan disembah maklum kepada Raja-Raja Melayu dalam satu perbincang­an khas di Istana Negara hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata beberapa pakar dari agensi kerajaan turut dijadual memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamata­n, politik dan ekonomi negara pada Perbincang­an Khas Raja-Raja Melayu, yang dijadual berlangsun­g pada 2.30 petang.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap seramai 18 pemimpin parti politik dalam sesi yang berlangsun­g secara bersemuka dan maya di Istana Negara dan mendengar pandangan mereka mengenai pelbagai isu.

Selain pemimpin parti politik, Seri Paduka turut berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankua­sa Khas Bebas Darurat 2021 Tun Arifin Zakaria.

“Perlu diperjelas­kan di sini bahawa sesi-sesi menghadap para pemimpin parti politik adalah atas inisiatif serta keprihatin­an tinggi Seri Paduka dan berkaitan usaha memerangi penularan wabak COVID-19 serta pelaksanaa­nnya semasa tempoh darurat,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Pada 12 Jan lepas, AlSultan Abdullah mengisytih­arkan agar Proklamasi Darurat dilaksanak­an di seluruh negara hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik COVID-19.

Ini merupakan kali kedua Perbincang­an Khas Raja-Raja Melayu diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan 2019 selepas yang pertama pada 25 Okt tahun lepas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia