Utusan Borneo (Sarawak)

MURID DIKHUATIRI LEMAS KETIKA MANDI DI SUNGAI

-

MUKAH: Seorang murid tahun dua dikhuatiri lemas di sungai di tepi Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Ingkerbai sekitar jam 9.45 pagi kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias, Muhammad Danish Muhammad Zamrie, 8, dipercayai bermain dengan seorang lagi rakannya di tepi sungai yang terletak 25 meter dari kawasan sekolah terbabit.

“Semasa di tepi sungai, mangsa telah membuka seluar dan baju untuk mandi di tepi sungai manakala rakannya hanya melihat dari tebing sungai,” kata Muhammad Rizal.

Tidak lama kemudian, rakan mangsa melihat mangsa tibatiba tenggelam di sungai sambil kedua-dua belah tangannya terkapai-kapai meminta tolong.

Rakan mangsa yang juga berumur lapan tahun tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak pandai berenang dan akhirnya memaklumka­n kejadian itu kepada guru besar.

Guru besar selepas itu memaklumka­n kepada semua kakitangan sekolah serta penduduk kampung terdekat untuk mencari dan menyelamat­kan mangsa sebelum bantuan tiba.

Guru besar turut melaporkan kejadian malang itu kepada pihak polis.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan untuk gerakan mencari dan menyelamat mangsa.

Antara pihak yang terlibat dalam operasi tersebut ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mukah dengan seorang pegawai dan empat anggota, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangau dan Sibu terdiri daripada seorang pegawai dan 14 anggota, Angkatan Pertahanan Awam Selangau dengan enam anggota dan 15 penduduk rumah panjang.

Antara aset terlibat adalah satu bot bomba dan empat perahu panjang milik penduduk kampung.

Teknik selaman telah dilakukan sebanyak lima kali oleh skuad penyelam Balai Bomba dan Penyelamat Sibu pada jarak 30 meter dari arus sungai namun operasi belum membuahkan hasil.

Gerakan mencari dan menyelamat akhirnya ditangguh jam 6 petang semalam disebabkan keadaan semakin gelap.

Radius pencarian mangsa diperluask­an ke lima kilometer pada operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang pada hari kedua.

Setakat berita ini ditulis petang semalam, operasi masih belum membuahkan hasil.

 ??  ?? MANGSA: Muhammad Danish dikhuatiri lemas
di sungai.
CARI: Semua pihak bergabung tenaga ketika pencarian Muhammad
Danish.
MANGSA: Muhammad Danish dikhuatiri lemas di sungai. CARI: Semua pihak bergabung tenaga ketika pencarian Muhammad Danish.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia