Utusan Borneo (Sarawak)

Cubaan lelaki seludup masuk dua PATI berjaya dipatahkan

-

LUNDU: Cubaan seorang lelaki menyeludup masuk dua pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dipatahkan dalam sekatan jalan raya di Kilometer 6 Jalan LunduBau semalam.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata, suspek berusia 27 tahun itu semasa kejadian memandu sebuah kereta dan ditahan untuk pemeriksaa­n sekitar jam 7 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaa­n awal mendapati terdapat dua lagi lelaki di dalam kereta yang dilihat mencurigak­an.

"Siasatan lanjut mendapati suspek yang merupakan warga tempatan disyaki cuba menyeludup masuk dua PATI terbabit yang telah masuk ke negeri ini melalui laluan yang tidak diwartakan.

"Ini kerana kedua-dua PATI terbabit didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah memasuki negeri ini," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Ketiga-tiga suspek kemudian ditangkap dan kereta yang digunakan juga dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 26J ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Ketiga-tiga suspek juga telah dibawa menjalani calitan COVID-19 dan mereka disahkan negatif sebelum ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk siasatan lanjut," katanya.

 ??  ?? DAMATARIES
DAMATARIES

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia