Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga kluster baharu jangkitan COVID-19 diisytihar­kan di Sarawak

-

KUCHING: Tiga kluster baharu jangkitan COVID-19 diisytihar­kan di Sarawak iaitu Kluster Gran Stumbin di Sri Aman, Kluster Jalan Tanjung Bintulu 3 dan Kluster Jalan Bintulu-Tatau di daerah Bintulu.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan berkata Kluster Gran Stumbin merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan beberapa rumah panjang di penempatan Gran Stumbin, Tanjung Bijat, Sri Aman.

Kluster ini katanya, berpunca daripada pergerakan sosial dan kontak rapat dalam kalangan penduduk di kawasan Gran Stumbin selepas menghadiri satu upacara pengebumia­n di salah sebuah rumah panjang tersebut pada 6 Jun 2021.

“Sejumlah 620 individu telah disaring di mana 82 kes telah dikesan positif COVID19 termasuk kes indeks, 124 kes didapati negatif dan 414 kes masih menunggu keputusan makmal.

“Kesemua kes positif COVID-19 ini telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak, Hospital Sri Aman dan PKRC di daerah Sri Aman bagi tujuan pengasinga­n dan rawatan lanjut.

“Manakala kontak rapat kepada kes-kes positif juga telah diberi arahan kuarantin dan dimasukkan ke pusat kuarantin di daerah Sri Aman,” katanya samba menambah, terdapat satu kes kematian melibatkan kluster ini.

Mengenai Kluster Jalan Tanjung Kidurong 3, ia merupakan kluster tempat kerja yang dikesan melibatkan kuarters pekerja sebuah syarikat agensi pengangkut­an di Jalan Kidurong, Bintulu.

Kluster itu katanya, berpunca daripada pergerakan sosial dan kontak rapat dalam kalangan pekerja syarikat tersebut. Sejumlah 102 individu telah disaring di mana, 33 kes telah dikesan positif COVID-19 termasuk kes indeks dan 69 kes masih menunggu keputusan makmal.

Kluster Jalan Bintulu-Tatau pula merupakan kluster komuniti yang dikesan melibatkan sebuah rumah panjang di Jalan BintuluTat­au, Bintulu.

“Kluster ini berpunca dari pergerakan sosial dan kontak rapat dalam kalangan penduduk.

“Sejumlah 151 individu telah disaring di mana, 24 kes telah dikesan positif COVID19 termasuk kes indeks, 82 kes didapati negatif dan 45 kes masih menunggu keputusan makmal,” katanya.

JPBNS turut memaklumka­n penamatan Kluster Rayang, Serian setelah tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari melibatkan kluster ini.

Jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 88 kluster dengan 10 kluster aktif yang telah merekodkan 40 penambahan kes baharu manakala 78 kluster tidak merekodkan penambahan kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia