Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19: Varian Beta dipercayai punca kes positif, kematian meningkat di Kelantan

-

KOTA BHARU: Peningkata­n ketara kes positif dan kematian akibat COVID-19 di Kelantan tahun ini dipercayai berlaku akibat penularan varian Beta dalam komuniti.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya dimaklumka­n mengenai perkara itu hasil keputusan 23 ujian sampel daripada beberapa kluster yang telah dihantar untuk jujukan genom.

“Kita tidak hantar semua kes positif, kita ambil sampel daripada beberapa kluster di negeri ini. Kita rasakan bahawa kemungkina­n majoriti kes di Kelantan adalah varian Beta.

“Melihat dari segi perebakan begitu cepat malah purata bilangan kematian juga meningkat empat hingga enam kes sehari, menjadikan 175 kematian tahun ini sahaja, berbanding hanya tujuh kes sepanjang tahun lepas, varian ini mungkin telah berada dalam komuniti di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi Kakitangan Penjara dan Keluarga Jajahan Kota Bharu di Penjara Pengkalan Chepa di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Penjara Kelantan Mat Yaacob dan Pengarah Penjara Pengkalan Chepa Wan Sani Ab Latiff.

Kelmarin, Kelantan mencatatka­n 245 kes positif baharu COVID-19, menjadikan 3,837 kes aktif.

Dr Zaini berkata 12 peratus daripada 1.2 juta penduduk Kelantan yang layak menerima vaksin COVID-19 sudah menerima suntikan dos pertama dan kedua. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia