Gelagat Iron Man hiburkan petugas, penerima vaksin di PPV Kozi Square
KUCHING: Gelagat Iron Man, watak adiwira yang tampil mendapatkan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kozi Square di sini, mencuri perhatian penerima vaksin lain.
Si pemakai kostum, Mohd Syah Nizam Rajap, 32, tiba di PPV berkenaan sekitar jam 11.15 pagi semalam bagi mendapatkan dos keduanya selepas tiga minggu dos pertama.
Bukan itu sahaja, pada dos pertamanya, Mohd Syah menggunakan kostum adiwira Spider-Man ke PPV berkenaan.
“Pada kali pertama, saya datang menggunakan kostum Spider-Man, saya melihat ia mendapat sambutan yang baik daripada mereka yang berada di pusat pemberian vaksin dan mereka gembira melihat kelainan yang ditampilkan.
“Tujuan saya menggunakan kostum adiwira adalah untuk menghiburkan mereka yang di sekeliling terutama kepada petugas di PPV, sekurang-kurangnya mereka gembira dan tidak tertekan dengan tugasan sepanjang hari,” katanya ketika ditemui di PPV Kozi Square di sini, semalam.
Katanya dia amat gembira kerana mampu menghiburkan mereka yang datang di mana ada yang bersorak sebaik sahaja dia tiba di PPV kerana melihat kelainan kostum yang ditampilkan.
“Saya melakukan ini dengan ikhlas. Saya ingin melihat semua gembira dan ceria.
“Pada masa yang sama mungkin apa yang saya lakukan ini mendorong orang ramai mendapatkan vaksin bagi yang belum mendapatkannya,” katanya yang merupakan kakitangan di Tabung Baitumal.
Menceritakan tentang kostum adiwira yang dimilikinya, sehingga kini dia mempunyai beberapa kostum adiwira antaranya Spider-Man, Iron Man, Bumblebee, dan Deadpool.
Katanya, kesemua kostum yang dimilikinya dibeli dan dia mempunyai pasukan yang mempunyai minat yang sama.
Mohd Syah berkata, sebelum wabak COVID-19 melanda, mereka sering kali menerima jemputan ke majlis-majlis khasnya hari jadi untuk membuat penampilan.
“Saya memang minat adiwira dan merupakan hobi saya, sehingga kini pasukan kami mempunyai 11 orang termasuk maskot lain,” katanya.