Buruh kasar ditahan, syabu dirampas
LIMBANG: Polis menahan seorang buruh kasar dan merampas sejumlah syabu dalam Ops Bersepadu Cegah Jenayah di tepi jalan sebuah kampung dekat sini, tengah malam kelmarin.
Suspek, 39, ditahan jam 12.05 tengah malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang ketika dalam keadaan mencurigakan di kawasan itu.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata, pemeriksaan lanjut kemudiannya dijalankan ke atas suspek.
“Satu peket plastik lutsinar berisi syabu seberat 13.12 gram bernilai RM1,300 dirampas daripada suspek,” katanya menerusi satu keny- ataan semalam.
Suspek yang positif dadah dan tidak mempunyai kesalahan lampau itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Selsyen 15(1)(a) ADB 1952.
Menurutnya lagi, operasi sama membabitkan sekatan jalan raya yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin di Jalan Medamit turut memeriksa 90 orang merangkumi 86 kenderaan.
“Sebanyak 18 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan jalan raya dan operasi disertai enam pegawai dan 18 anggota,” jelasnya.
Parum yang mengetuai operasi menjelaskan pemantauan dijalankan di kawasan taman perumahan, kampung dan bandar Limbang.
“Sepanjang pemantauan dibuat, tiada sebarang kesalahan jenayah yang dikesan dan kita hanya menasihati orang awam yang berkumpul di satu-satu tempat untuk bersurai.
“Orang awam juga dinasihatkan agar memastikan keselamatan di kawasan rumah terjaga supaya tidak memberi peluang kepada penjenayah,” ujarnya.
Katanya, masyarakat perlu terus memberikan maklumat berkaitan dengan kesalahan dadah dan jenayah lain.
“Pihak polis akan terus melaksanakan operasi pencegahan jenayah untuk memastikan daerah ini aman dan selamat,” katanya.