PPV Klinik Kesihatan Long Panai beroperasi semula
MIRI: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Long Panai beroperasi semula semalam bagi memberi suntikan dos kedua kepada penduduk kampung tersebut serta penduduk kampung berdekatan.
Penduduk Kampung Long Panai Robson Jok Laeng berkata, PPV mulai beroperasi jam 8 pagi dalam suasana banjir tidak menghalang penduduk kampung mengambil suntikan dos kedua suntikan vaksin.
“Pemberian vaksin dos kedua diteruskan bagi memastikan penduduk Kampung Long Panai dan penduduk kampung sekitar mendapat dos kedua seperti tarikh ditetapkan oleh PPV, memandangkan penduduk sekitar lain sudah bersedia datang ke Long Panai menerima dos kedua mereka tanpa tertangguh.
“Seramai 149 penduduk Kampung Long Panai mendapatkan suntikan dos kedua mereka di PPV hari ini (semalam) dan seramai enam warga emas disuntik vaksin dos kedua di kediaman masing-masing. “Penolong Pegawai Perubatan PPV Long Panai Jackson Ramawi dan rakan-rakan beliau di PPV mengambil inisiatif berjumpa dengan warga emas di kediaman mereka bagi memberi suntikan dos kedua tanpa perlu hadir ke PPV,” katanya di sini semalam.
Robson berkata, hujan berterusan beberapa hari lalu menyebabkan air mulai naik dan membanjiri kawasan rendah di Long Panai.
“Banjir ini menyukarkan pergerakan penduduk Kampung Long Panai khususnya warga emas yang perlu mengambil dos kedua mereka.
“PPV Long Panai mengambil langkah sepatutnya berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” jelasnya.
Setakat berita ini ditulis petang semalam, baki seramai 77 penduduk kampung sudah mendapatkan suntikan kedua mereka dan banjir di Long Panai kian beransur pulih.
PPV Long Panai mulai beroperasi pada 26 Jun lalu dan memberi 200 dos suntikan pertama pada hari pertama dan hari kedua pengoperasian.