MAPIM Sarawak sokong sesi persekolahan secara PdPR diteruskan
KUCHING: Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sarawak menyokong sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) diteruskan memandangkan kes COVID-19 yang masih belum reda.
Yang Dipertuanya Datuk Rozalix Edi Wahab berkata, tindakan itu wajar dilaksanakan dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan warga sekolah terutama melibatkan golongan pelajar.
“Umum mengetahui bahawa kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tidak diberikan vaksin COVID-19 dan apabila mereka tidak divaksinasi, ini akan mendedahkan diri kepada bahaya jangkitan virus tersebut.
“Justeru, MAPIM
Sarawak bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) meneruskan sesi persekolahan secara PdPR sehingga hujung Ogos demi keselamatan anak-anak,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.
Menurut Rozalix, beliau memahami akan kekangan dan kesukaran yang dihadapi ibu bapa dan pelajar semasa pelaksanaan PdPR.
“Namun, apa yang lebih penting buat masa ini ialah kesihatan anak-anak, ibu bapa, guru dan seluruh masyarakat daripada dijangkiti wabak ini,” katanya.
Sementara itu, beliau mohon agar pelajar yang bakal mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysian (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diberi keutamaan mengikuti pembelajaran secara bersemuka (PdP) terlebih dahulu.
“Ia bagi mengelak isu seperti tahun sebelumnya di mana para pelajar ini terpaksa menangguhkan peperiksaan tersebut,” katanya sambil menggesa seluruh warga sekolah mematuhi garis panduan (SOP) ditetapkan jika sekolah dibuka secara berperingkat mulai 1 September nanti.
Pada Sabtu, KPM mengumumkan sesi persekolahan secara PdPR akan dilanjutkan sehingga 31 Ogos ini.
Menurutnya, sekolah hanya akan dibuka secara berperingkat-peringkat untuk sesi pembelajaran secara bersemuka mulai 1 September nanti.
“Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi yang berdaftar dengan KPM,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.