Utusan Borneo (Sarawak)

RUU pindaan Kanun Tanah, Hutan mesti perkukuh Perlembaga­an Negeri: Wong

-

Dato Sri Wong Soon Koh (PSB-Bawang Assan) berkata, pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Tanah Negeri (Pindaan) 2022 dan RUU Hutan (Pindaan) 2022 mesti memperkuku­hkan lagi Perlembaga­an Negeri.

Beliau berkata, kedua-dua RUU itu mesti berperanan melindungi tanah dan hutan Sarawak.

Ujarnya lagi, RUU berkenaan diharap meletakkan Sarawak di kedudukan lebih kukuh dalam usaha kerajaan negeri meneruskan perjuangan mengembali­kan dan melindungi hak serta kepentinga­n Sarawak seperti dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Jika itulah yang berlaku, kami dengan sukacitany­a memberi persetujua­n dan memastikan sokongan dwipartisa­n untuk apa yang baik, baik untuk rakyat Sarawak,” katanya ketika membahas RUU Hutan (Pindaan) 2022 pada Persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Bagaimanap­un, Wong mengingatk­an kerajaan negeri bahawa isu tanah dan hutan menjadi sukar atau sensitif dalam kalangan komuniti terutama apabila menyentuh tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

“Perlu diingatkan masih banyak isu tanah NCR tertunggak yang masih belum diselesaik­an di mahkamah.

“Dengan mengambil kira perkara ini, ciri budaya dan sejarah hutan dan tanah Sarawak perlu diambil kira apabila mewujudkan ‘hutan baharu’ serta melakukan perubahan kepada hutan dan tanah sedia ada,” katanya.

Sehubungan itu, Wong berharap pindaan melibatkan tanah dan hutan akan mengurangk­an, jika tidak dapat menyelesai­kan, isuisu berkenaan yang menjadi perbalahan.

Menurutnya lagi, 20 peratus tanah di Sarawak diklasifik­asi sebagai tanah NCR, tetapi hanya sedikit sahaja telah disukat dan dikeluarka­n surat hak milik tanah.

“Untuk rekod, tiada pengiktira­fan akan diberikan kepada mana-mana NCR ke atas mana-mana tanah di Sarawak yang diwujudkan selepas 1 Januari 1958,” katanya.

Dalam perkembang­an sama, Wong berkata, berdasarka­n data liputan pokok dan hutan tahunan Malaysia, Sarawak mendahului negara dari segi kehilangan hutan primer dengan 1.6 juta hektar daripada jumlah Tutupan Hutan Utamanya seluas 7.46 juta hektar bagi tempoh 2001 hingga 2020. “Penyumbang utama kehilangan ini termasuk, antara lain Belaga, Marudi, Bintulu, Tatau, Kapit dan Mukah dengan masing-masing 345,000, 237,000, 148,000, 147,000, 127,000 dan 81,000 hektar dari 2001 hingga 2020.

“Jelas sekali, ini suatu yang penting untuk dilihat segera oleh kerajaan negeri kerana ia ‘secara kebetulan’ terletak di dalam kawalan kukuh kerajaan,” tambahnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia