Utusan Borneo (Sarawak)

Dakwaan layanan tidak wajar, syarikat pengawal keselamata­n ditegur: Dr Ooi

-

Syarikat pengawal keselamata­n yang tular di media sosial berhubung isu penjaga kepada pesakit yang mendakwa tidak mendapat layanan sewajarnya daripada pihak pengurusan hospital telah diberi teguran.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ooi Choo Huck berkata, pihak syarikat tersebut telah diminta membuat beberapa penambahba­ikan serta-merta terhadap perkhidmat­an yang diberikan.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai isu yang tular di media sosial barubaru ini berkenaan penjaga kepada pesakit di Hospital Umum Sarawak dan Hospital Sibu yang mendakwa tidak dapat mendapat layanan sewajarnya dari pihak pengurusan hospital.

“Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak amat memandang serius aduan-aduan tersebut dan tindakan siasatan lanjut telahpun diambil serta-merta.

“JKN Sarawak ingin memaklumka­n bahawa Polisi Lawatan untuk Penjaga dan Pelawat yang berkuat kuasa adalah tertakluk kepada Polisi Lawatan untuk Penjaga dan Pelawat di Hospital KKM semasa Fasa Peralihan ke Endemik COVID19 daripada Kementeria­n Kesihatan Malaysia berkuat kuasa pada 23 April 2022,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Beliau berkata, semua penjaga atau pelawat yang mematuhi kriteria umum dalam polisi tersebut adalah dibenarkan untuk melawat dan menjaga pesakit.

Katanya, berhubung isu kelemahan komunikasi antara pengawal keselamata­n dan pihak keluarga pesakit di HUS, siasatan mendapati terdapat kekeliruan dan kurang penjelasan dalam kalangan anggota pengawal keselamata­n yang bertugas terhadap polisi tersebut.

“Teguran telah dibuat terhadap syarikat pengawal keselamata­n bagi memastikan insiden serupa tidak berulang pada masa hadapan.

“Pihak syarikat tersebut telah diminta untuk membuat beberapa penambahba­ikan serta-merta terhadap perkhidmat­an yang diberikan,” katanya.

Berkenaan isu penggilira­n atau pertukaran penjaga di Hospital Sibu, Dr Ooi berkata, siasatan telah dibuat oleh pihak pengurusan Hospital Sibu dan telah berusaha untuk berhubung dengan pihak pengadu untuk penjelasan lanjut bagi membantu siasatan.

Pada masa sama katanya, pihak JKN Sarawak akan memastikan dasar dan peraturan yang telah ditetapkan dalam Polisi Lawatan untuk Penjaga dan Pelawat di Hospital KKM semasa Fasa Peralihan ke Endemik COVID-19 daripada KKM dikuatkuas­akan sebaiknya.

“Justeru, JKN Sarawak telah melaksanak­an beberapa langkah penambahba­ikan antaranya mengadakan satu sesi taklimat bersama semua pengurusan hospital kerajaan di negeri Sarawak pada 18 Mei 2022.

“Selain itu, menubuhkan Pasukan Audit Khas dalam memastikan keseragama­n pelaksanaa­n Polisi Lawatan untuk Penjaga dan Pelawat supaya tidak berlaku kes seumpama ini pada masa akan datang,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia