Lo galak perniagaan selenggara automatif terus berkembang
Perniagaan penyelenggaraan automotif digalak terus berkembang untuk memberi tawaran perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, ia juga berikutan peningkatan permintaan susulan pertambahan kenderaan di jalan raya.
“Fei Yue Tyres Sdn Bhd by TYREPLUS Cawangan Aiman di Kota Samarahan dibuka secara rasmi bagi menyediakan beberapa perkhidmatan penyelenggaraan kereta di Samarahan dan Serian.
“Beberapa perkhidmatan yang ditawarkan termasuk menukar tayar, bateri, minyak dan aksesori lain dan diharap pelanggan akan selenggara kenderaan mereka dengan kerap terutama tayar.
“Ini semua demi keselamatan pengguna jalan raya agar mereka sentiasa dalam keadaan yang selamat,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan rasmi Fei Yue Tyres Sdn Bhd by TYREPLUS Cawangan Aiman di Kota Samarahan di sini semalam.
Lo berkata, keadaan muka bumi Sarawak yang luas dan penduduknya berselerak dengan ketiadaan pengangkutan awam menyukarkan pergerakan orang ramai.
Justeru katanya, hampir semua orang di Sarawak memiliki sebuah kereta, atau sebuah keluarga memiliki lebih daripada sebuah kereta sebagai pengangkutan utama mereka.
Malah, jika orang ramai tidak mempunyai kereta atau motosikal, adalah hampir mustahil untuk mereka sampai ke destinasi tujuan masing-masing, ujarnya.
“Orang ramai yang memiliki kereta atau motosikal memerlukan penyelenggaraan, penggantian tayar, bateri, minyak dan aksesori lain.
“Walaupun kedai membaiki kereta ada di mana-mana, mereka tidak mampu melayan semua pemilik kenderaan, terutamanya perkhidmatan penyelenggaraan kereta.
“Oleh itu, diharapkan lebih banyak perniagaan seperti pembaikan kereta atau motosikal dan pusat servis tayar untuk memberi perkhidmatan berkaitan dibuka,” kata Lo.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) turut menyeru agar lebih ramai pelajar lepasan sekolah menengah menyahut cabaran dengan menyertai latihan kemahiran membaiki automotif.
“Setahu saya, pelajar sekolah menengah boleh mendaftar dalam kursus penyelenggaraan kenderaan di sekolah teknik kerajaan untuk mempelajari kemahiran. Pelajar sekolah menengah Cina di sini juga boleh memilih untuk mendaftar dalam kursus pembaikan kereta tersebut,” katanya lagi.
Beliau turut mengucapkan tahniahkepadaPengarahUrusan Fei Yue Tyres Sdn Bhd, Ngieng Hock Teck atas pembukaan rasmi cawangan baharunya.