Utusan Borneo (Sarawak)

Banyak perkara boleh ditawarkan Malaysia kepada syarikat penerbitan luar negara

-

CANNES (Perancis): Malaysia boleh menawarkan pelbagai perkara kepada syarikat penerbitan luar negara yang dapat menarik mereka untuk membuat penggambar­an filem mereka di Malaysia kata Penerbit dan Pengarah Syarikat Biscuit Film Bill Donovan.

Beliau berkata Malaysia mempunyai infrastruk­tur yang amat baik, lokasi yang fantastik daripada bandar yang moden sehingga ke bandar Warisan Dunia UNESCO selain krew penggambar­an yang dedikasi dan berpengala­man yang boleh ditawarkan kepada syarikat prodduksi luar negara.

“Malaysia boleh tawarkan banyak perkara yang ada dalam senarai semak penerbit. Makanan Malaysia satu tarikan besar dan tambahan pula dengan cara hidup Malaysia,” katanya kepada media selepas persidanga­n bertajuk ‘The Heartbeat Of Asia’ bersempena Marche Du Film 2022 di sini kelmarin.

Donovan merupakan salah seorang daripada penceramah pada persidanga­n itu di samping Ketua Pengawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) Prof Dr Md Nasir Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Malaysia Studio (IMS) Rashid Karim dan Pengurus Besar Base FX Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Beliau berkata rebat 30 peratus yang ditawarkan menerusi Insentif Filem Malaysia (FIMI) dan tambahan lima peratus lagi rebat ‘cultural test’ merupakan satu idea yang bagus oleh kerajaan yang merupakan satu tarikan untuk lebih banyak syarikat produksi luar negara untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi penggambar­an mereka.

“Kami telah menggunaka­n insentif ini dengan jayanya sejak ia dimulakan. Sehingga sekarang setiap projek telah tanpa gagal menerima wang tersebut.

“Saya rasa ia satu insentif yang bagus, pada kadar 30 peratus, ia agak banyak untuk perbelanja­an tempatan anda termasuk wang anda dan krew yang membuatkan­nya satu insentif yang amat menarik,” katanya.

Bagaimanap­un Donovan berkata kerajaan perlu meningkatk­an kempen kesedaran mengenai program itu, kerana masih ramai pihak yang perlu tahu mengenai Malaysia dan apa yang dapat ditawarkan untuk mereka.

“Itu suatu perkara yang penting di mana kita perlu maklumkan kepada orang ramai mengenai apa yang Malaysia boleh tawarkan dari segi budaya, makanan, cuaca, lokasi dan lain-lain,” katanya.

Sementara itu, Md Nasir mengakui kekurangan promosi menjadi punca mengapa banyak penerbit tidak tahu tentang wujudnya rebat tunai menerusi FIMI.

Beliau berkata FINAS akan mempergiat­kan lagi promosi melalui platform seperti media sosial, akhbar dan aktiviti tertentu selain menyertai beberapa pasaran filem antarabang­sa dalam masa terdekat.

“Kita akan menyertai tidak kurang tiga pasaran antarabang­sa dalam masa terdekat sehingga tahun depan. Dengan penyertaan kita di pasaran antarabang­sa ini, sebenarnya kita bukan sahaja dapat memperluas­kan filem kita ke luar negara, tetapi juga melalui filem tersebut dapat memperkena­lkan negara kita yang mempunyai pelbagai bangsa, budaya dan cara hidup.

“Kita juga melalui FIMI sebenarnya mengharapk­an ekonomi negara dapat ditingkatk­an melalui penggambar­an yang dibuat di Malaysia, kerana setiap perbelanja­an yang dibuat di Malaysia merupakan pendapatan kepada negara. Ini yang akan kita tingkatkan dari segi promosi, tidak hanya menunggu penyertaan barulah kita nak buat promosi,” katanya.

— Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia