Utusan Borneo (Sarawak)

Tuntutan waris Sultan Sulu: Malaysia akan hantar nota diplomatik kepada 168 negara

-

Malaysia akan menghantar nota diplomatik kepada 168 negara yang menandatan­gani Konvensyen New York sebagai memberi makluman awal jika terdapat mana-mana pihak mahu membawa tuntutan mewakili pihak didakwa waris Sultan Jamalul Kiram II atau penimbang tara Dr Gondoza Stampa berhubung ‘Final Award’ kepada waris Sultan Sulu.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, tindakan proaktif itu diambil supaya 168 negara itu mengetahui pihak berkenaan membuat tuntutan tersebut secara satu pihak selain proses diplomatik tersebut diharap membolehka­n negara terlibat memaklumka­n Malaysia jika ada permohonan serupa difailkan di negara mereka.

Secara keseluruha­nnya, terdapat 169 negara yang menandatan­gani Konvensyen New York, bagaimanap­un Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis, sebelum ini telah membuat keputusan supaya Malaysia membayar pampasan US$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

“Kementeria­n Luar akan menghantar notis kepada Kementeria­n Luar 168 negara terlibat kerana Stampa telah membuat Final Award di Perancis dan kita tidak tahu jika mereka (Stampa dan waris Sultan Sulu) akan berhenti di Perancis atau ke negara lain pula selepas ini dengan tuntutan sama.

“Kita telah membuat permohonan untuk membatalka­n Final Award ini dan kini sedang menunggu keputusan daripada Mahkamah Perancis yang dijangkaka­n tidak lama lagi,” katanya pada sidang media semasa ditemui pada

Jamuan Raya Parlimen dan Perikatan Nasional (PN) Indera Mahkota di sini semalam.

Kerajaan Malaysia tidak mengiktira­f tuntutan dibuat pihak mendakwa waris kepada Sultan Sulu dan menolak sepenuhnya Final Award dikeluarka­n Stampa atas dakwaan pelanggara­n Perjanjian 1878 antara Sultan Sulu ketika itu dengan Baron de Overbeck dan Alfred Dent, yang menyaksika­n Sultan Sulu menyerahka­n buat selamalama­nya wilayahnya di Borneo Utara, kini Sabah.

Sebagai balasan, Sultan Sulu serta warisnya diberikan wang serahan RM5,300 setiap tahun, bagaimanap­un susulan serangan bersenjata di Lahad Datu, bayaran itu dihentikan pada 2013.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata beliau bertemu Ketua Menteri Sabah Datuk

Seri Hajiji Noor kelmarin, dan memaklumka­n tindakan kerajaan Persekutua­n dalam menangani isu tuntutan waris Sultan Sulu, dengan kedua-dua pihak bersetuju pertemuan lebih kerap dapat dilakukan bagi melancarka­n usaha tersebut.

Selain berkaitan tuntutan Sultan Sulu, Saifuddin berkata beliau dan Hajiji juga bersetuju supaya wakil rasmi dari Sabah akan dilibatkan dalam dua jawatankua­sa perundinga­n sempadan Malaysia-Indonesia yang melibatkan sempadan maritim dan darat.

“Saya juga akan bertemu dengan Ketua Menteri, Menteri Besar dan Premier negeri yang bersempada­n dengan negara-negara jiran supaya kita lebih bersistema­tik dan jawatankua­sa perundinga­n sempadan akan ada wakil negeri berkaitan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia