Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan lulus projek SPK bagi kampung-kampung Melayu di Bau

-

BAU: Kerajaan Sarawak meluluskan projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) bagi kampung-kampung Melayu di Bau ekoran jumlah penduduk yang semakin meningkat di kawasan itu.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau bersetuju dengan permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep berhubung perkara itu.

“Semua itu diminta oleh Henry. Okaylah. Awak doakan saja, asalkan kita ada duit. Selain itu, saya juga telah meluluskan Pusat Kebudayaan Bidayuh.

“Atas permintaan lain iaitu menyediaka­n hak milik tanah kepada masyarakat Cina untuk rumah individu, kita akan menelitiny­a.

“Tetapi satu perkara yang pasti, budaya Gabungan Parti Sarawak (GPS) ialah, apabila kita kata ‘ya’ kita akan sampaikan. Ini termasuk pembanguna­n untuk kawasan lain,” katanya ketika menghadiri Rumah Terbuka Bau Gawai 2022 di Dewan Suarah Bau di sini, semalam.

Terdahulu, Henry dalam ucapannya berkata terdapat empat kampung Melayu di kawasannya dan sudah tiba masanya untuk mereka mempunyai kawasan yang lebih besar.

“Mereka (keluarga dari kampung Melayu) sudah menunggu selama 50 tahun. Dan dalam satu keluarga, terdapat kira-kira lima hingga 10 keluarga lagi. Saya fikir ia terlalu sesak.

“Justeru, sudah tiba masanya untuk mempertimb­angkan memberi ruang yang lebih besar kepada mereka,” katanya sambil menambah, dua tapak telah dikenal pasti untuk SPK.

Dalam perkembang­an lain, Henry berkata, kebanyakan orang Cina yang tinggal di kawasan pajakan lombong itu masih ada yang tidak mempunyai hak milik tanah.

“Mereka sudah berada di sana sejak zaman perlombong­an termasuk generasi ketiga. Oleh itu, saya memohon kelulusan kerajaan negeri supaya masyarakat Cina yang menetap di kawasan pekan sekurang-kurangnya diberi hak milik tanah bagi rumah masing-masing.

“Ini adalah permintaan saya untuk rakyat saya. Jika orang Bidayuh mempunyai Pusat Kebudayaan Bidayuh. Biarlah Melayu mendapat hak yang luas dan orang Cina juga menikmati faedah yang sama dengan semua masyarakat.

“Saya rasa inilah cara kita hidup di Sarawak. Jalan ke hadapan bagi kerajaan GPS ialah semua rakyat hidup dalam harmoni,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia