Utusan Borneo (Sarawak)

Pengundi diminta pastikan kerusi Parlimen Mas Gading dikembalik­an kepada GPS

-

BAU: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meminta pengundi di Mas Gading memastikan kerusi Parlimen itu dikembalik­an kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Abang Johari yang juga pengerusi GPS berkata ia bagi memastikan kawasan itu yang kini diwakili pembangkan­g menerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak ketinggala­n dalam pembanguna­n.

“Saya menyeru semua di sini untuk memastikan kemenangan kepada calon GPS yang akan bertanding di sini.

“Anda telah melihat apa yang anda dapat daripada pihak pembangkan­g.

“Apa yang mereka kata, mereka tidak sampaikan. Begitu juga dengan apa yang mereka rancang,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Bau Gawai 2022 di Dewan Suarah Bau di sini, semalam.

Sehubungan itu, Abang Johari berharap GPS dapat menyapu bersih ketiga-tiga kerusi Parlimen kawasan Bidayuh.

Selain Mas Gading, dua lagi kerusi majoriti kaum Bidayuh ialah Puncak Borneo dan Serian.

Hanya kerusi Serian kini diwakili GPS.

“Pilihan raya ini kita ‘sapu’ (menang) semua kerusi di kawasan Bidayuh,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato Henry Harry Jinep ketika ditemui berkata terdapat beberapa calon berpotensi daripada parti itu untuk dicalonkan di Mas Gading.

Beliau berkata ini termasuk usahawan Lidang Disen yang dilihat bergerak aktif di kawasan itu.

Menurutnya lagi, Lidang berasal dari Kampung Stenggang dan aktif bekerja di lapangan sejak zaman bekas Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Anthony Nogeh Gumbek.

Beliau menambah, Lidang yang merupakan jurutera awam juga merupakan ahli exco PDP Tasik Biru.

“Kita akan memberi namanya kepada mesyuarat Majlis Tertinggi PDP. Kita perlu menilai penerimaan daripada rakyat di lapangan.

“Terpulang kepada pucuk pimpinan PDP untuk menentukan calon yang boleh membawa semula Mas Gading ke GPS,” katanya.

Lidang ketika ditemui berkata beliau yakin GPS boleh memenangi semula Mas Gading.

“Apa yang penting adalah semua komponen bekerjasam­a untuk memastikan kemenangan.

“Saya telah bekerja di lapangan bagi mendapatka­n sokongan untuk GPS di Tasik Biru dan Opar pada Pilihan Raya Negeri lalu,” kata Lidang, 47, yang menganggap Henry sebagai mentornya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia