MOT lantik dua anggota baharu MAVCOM
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) melantik Datuk Roger Tan Kor Mee dan Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad sebagai dua anggota baharu Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berkuat kuasa Rabu lepas hingga 7 Jun 2025.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam kenyataan semalam berkata Tan yang merupakan peneraju Tetuan Roger Tan and Partners serta ahli Majlis Peguam, tidak asing dalam perkhidmatan awam dengan berkhidmat sebagai perunding luar untuk kerajaan Johor dan kerajaan Persekutuan dalam suatu tempoh yang panjang.
“Wan Kamaruzaman pula pernah berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah beberapa entiti korporat utama di Malaysia, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan
Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan kini seorang daripada anggota Panel Pelaburan bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Fauziah Yaacob atas sumbangan mereka sepanjang menjadi anggota suruhanjaya sejak 2016,” katanya. — Bernama