Utusan Borneo (Sarawak)

Kanak-kanak lima tahun rentung dalam kebakaran

-

Hanya mampu mendengar tangisan dan pasrah pada takdir sebelum seorang kanak-kanak lelaki menjadi korban kebakaran Rumah Polly Sulau, Bukong Asal, Jalan Lidong yang musnah dalam kebakaran semalam.

Mangsa, Rezdesson Carlos Robson, 5, ditemui rentung oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong setelah dipercayai terperangk­ap di bilik dapur rumah mereka semasa kebakaran berlaku.

Sementara itu, ibu mangsa Ency Shaylla, 25, melecur 32.5 peratus manakala adik perempuan mangsa, Elsa Amanda Robson, 2, turut melecur 44.5 peratus.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat BBP Betong PBK1 Henry Jugah yang turut serta dalam operasi pemadaman memberitah­u, kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang jenis tidak kekal satu tingkat yang telah terbakar sepenuhnya.

“Sebuah rumah panjang 11 pintu yang didiami 59 penghuni telah musnah dalam kebakaran yang telah meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun.

“Dua lagi mangsa yang cedera melecur sempat menyelamat­kan diri daripada api yang marak dan meranapkan rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung kebakaran rumah panjang yang berlaku dekat sini, semalam.

Tambahnya, pihaknya menghadapi kesukaran sampai ke tempat kejadian kerana laluan berbukit dan jalan terlalu sempit untuk jentera masuk ke kawasan terbabit.

“Tiada liputan rangkaian komunikasi dan capaian Internet menyebabka­n kesukaran untuk berhubung keluar juga menyumbang kepada kelewatan bantuan diterima,” ujarnya.

Pada masa yang sama pasukan bomba menggunaka­n kaedah RECEO dan melakukan pemadaman dengan mendapatka­n air dari kolam berdekatan menggunaka­n pam angkut melakukan pemadaman satu aliran di bahagian pertama, 300 kaki, dua nozel dan satu aliran bahagian kedua 200 kaki satu nozel menggunaka­n pam jentera serta membentang satu aliran 100 kaki.

Agensi lain yang membantu adalah polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Residen Bahagian Betong dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Betong.

 ?? ?? PADAM: Seorang anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran.
PADAM: Seorang anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia