Utusan Borneo (Sarawak)

JIM Sabah gempur pusat hiburan

Seramai 11 PTI dan seorang majikan ditahan menerusi Ops Gegar

- Oleh Hamzah Sanudin

SANDAKAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan 11 pendatang tanpa izin (PTI) dalam satu Operasi Gegar di sebuah pusat hiburan di Bandar Indah, Batu 4 Jalan Utara, di sini semalam.

Operasi yang dilakukan kira-kira jam 11.25 malam itu turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 48 tahun disyaki majikan pusat hiburan berkenaan.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata seramai 40 orang telah diperiksa dan 12 daripadany­a ditahan dalam operasi itu.

“Mereka yang ditahan terdiri 11 warga asing iaitu enam lelaki dan lima wanita serta seorang warga tempatan berumur 17 hingga 32 tahun.

“Semua tangkapan adalah pelanggan yang datang untuk berhibur dan juga disyaki pekerja premis tersebut,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Katanya, semua PTI terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Manakala, majikan tersebut pula disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil kerja orang asing yang tidak memiliki dokumen.

“Selain itu, Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki membenarka­n imigran haram masuk dan berada di dalam premis tersebut,” katanya.

Sitti Saleha berkata, operasi-operasi di pusat hiburan akan dipergiat dan diteruskan bagi membantera­s PTI khususnya yang disyaki terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

“JIM Sabah komited dalam usaha mencegah kehadiran PTI di negeri ini dan memberi amaran kepada orang awam khususnya majikan agar mematuhi undang-undang dan peraturan imigresen.

“Orang ramai diminta untuk memberi kerjasama dan melaporkan kepada pihak berkuasa, jika mendapati kehadiran PTI dan aktiviti seumpama ini,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia