Utusan Borneo (Sarawak)

Laporan lengkap kes Pulau Batu Puteh, Muhammad Adib, Buku Tommy Thomas siap Ogos

-

Laporan lengkap mengenai siasatan dan kajian terhadap kes Pulau Batu Puteh, kematian anggota bomba Allahyarha­m Muhammad Adib Mohd Kassim dan dakwaan dalam buku My Story: Justice in the Wilderness tulisan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dijangka siap Ogos depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pasukan dan jawatankua­sa terlibat telah meminta pelanjutan bagi memperhalu­si setiap laporan dan kajian.

Wan Junaidi berkata pelanjutan itu diperlukan antaranya bagi proses penterjema­han khususnya berkaitan istilah perundanga­n berikutan ada laporan ditulis dalam bahasa Inggeris.

“Ada juga laporan memerlukan sedikit masa kerana pihak jawatankua­sa siasatan berhadapan beberapa masalah antaranya perolehan dokumen dan saksi,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Sebelum ini, Wan Junaidi dilaporkan berkata laporan akhir siasatan kes kematian Muhammad Adib dan dakwaan dalam buku bekas peguam negara Tommy Thomas akan dibentang kepada Kabinet pada Jun.

Muhammad Adib mengalami kecederaan parah semasa kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia akibat kecederaan ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara pada 17 Dis 2018.

Kabinet pada 29 Okt tahun lepas bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi menyemak semula tindakan dan isu perundanga­n berkenaan kes Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 29 Okt yang dipengerus­ikan bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Pasukan itu telah mengemukak­an dan membentang­kan laporan interim pada penghujung April lepas.

Pasukan khas turut ditubuhkan bagi memberi fokus kepada pencarian fakta terhadap dakwaan dalam buku tulisan Tommy Thomas yang dipengerus­ikan bekas Peguam Besar Negeri Sarawak dan Penasihat Undang-Undang Kerajaan Sarawak Datuk Seri Fong Joo Chung. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia