Utusan Borneo (Sarawak)

Puluhan masih hilang dua bulan selepas banjir di Durban

-

Puluhan mangsa masih lagi hilang dua bulan selepas banjir terburuk dalam sejarah yang melanda bandar ketiga terbesar Afrika Selatan Durban dan kawasan sekitarnya yang turut mengorbank­an beratus-ratus nyawa, menurut pihak kerajaan kelmarin.

Angka kematian akibat banjir teruk dan tanah runtuh telah meningkat kepada 461,

dengan 87 orang masih belum diketahui keadaan mereka, ketua menteri kerajaan wilayah tenggara tenggara KwaZulu-Natal Sihle Zikalala memberitah­u wartawan.

“Banjir telah menjejaska­n 85,280 orang dengan 461 kematian.

“Seramai 87 orang masih dilaporkan hilang,” menurut Zikalala dalam taklimat media menandakan dua bulan selepas banjir melanda di sekitar wilayah itu.

Penurunan hujan lebat pada April susulan cuaca ekstrem yang berpunca daripada perubahan iklim, dihadapi secara mengejut oleh negara itu yang jarang mengalami ribut yang kerap kali membadai negara jirannya seperti Mozambique.

Hujan lebih 300 mm dicatatkan dalam masa 24 jam di beberapa bahagian di wilayah itu yang menyamai hampir satu pertiga penurunan hujan tahunan Durban, memecahkan rekod selama hampir tiga dekad.

Banjir itu mengakibat­kan gelongsora­n lumpur terburuk pernah dilihat di negara itu, menghanyut­kan penduduk, jejantas, jalan raya dan bangunan.

“Secara keseluruha­n banjir KwaZulu-Natal boleh dikatakan sebagai banjir paling memusnahka­n dalam sejarah kami setakat ini,” kata Zikalala.

Beliau menyatakan lebih 27,000 buah rumah telah terjejas dengan 8,584 musnah sepenuhnya.

Banjir melanda wilayah itu kira-kira setahun selepas rusuhan berdarah yang membunuh lebih 350 orang, kebanyakan­nya di Durban, bandar pelabuhan dengan lebih 3.9 juta penduduk. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia