Utusan Borneo (Sarawak)

38 tebusan tempatan diculik samseng Haiti dibebaskan

-

PORT-AU-PRINCE: Hampir 40 orang yang telah dijadikan sebagai tebusan dalam penculikan besarbesar­an di bandar utama Port-au-Prince di Haiti telah dibebaskan Sabtu lepas, sehari selepas mereka diculik sebuah kumpulan samseng, umum sebuah kesatuan pengangkut­an.

“Penumpang yang diculik telah dibebaskan pada 11 Jun,” menurut Persatuan Pemilik dan Pemandu Haiti (APCH) dalam Twitter, sambil menambah bahawa dua bas mini yang dinaiki mereka juga telah ditemui.

Pertubuhan itu tidak menyatakan sama ada wang tebusan telah dibayar kepada penculik.

Seramai 36 penumpang dan dua pemandu telah dijadikan sebagai tebusan pada pagi Jumaat oleh anggota kumpulan samseng dari Kampung de Dieu, saah satu kawasan setinggan di ibu negara.

Penculikan beramai-ramai muncul ketika Haiti dalam genggaman kumpulan samseng bersenjata yang gagal ditangani pihak polis.

Sejak 1 Jun, 2021, pihak berkuasa Haiti telah hilang kawalan ke atas satu-satunya jalan yang menghubung­kan Port-au-Prince ke separuh wilayah selatan, dengan satu bahagian kira-kira dua kilometer tertakluk di bawah pengaruh kumpulan bersenjata.

Pada hujung minggu lepas, tiga wanita muda Turki telah dibebaskan selepas sebulan dalam tahanan.

Mereka telah diculik kumpulan penjenayah yang mengawal seluruh wilayah di timur Port-au-Prince, sehingga ke sempadan dengan Republik Dominica.

Kumpulan samseng ini, yang merampas bas yang dinaiki mereka ketika dalam perjalanan dari Santo Domingo, masih menahan lima rakyat Turki.

Pada bulan lepas sahaja sekurang-kurangnya 200 penculikan telah direkodkan oleh Pertubuhan BangsaBang­sa Bersatu (PBB), kebanyakan di Port-au-Prince. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia