Utusan Borneo (Sarawak)

543 peneroka FELDA Neram 2 terima geran tanah

-

Penantian hampir 40 tahun 543 peneroka Felda Neram 2 di sini, untuk memiliki geran tanah rumah dan ladang kelapa sawit seluas lebih empat hektar, akhirnya tercapai semalam.

Beberapa peneroka yang ditemui pemberita melahirkan kesyukuran kepada kerajaan, kerana banyak perubahan hidup dinikmati mereka sejak menyertai tanah rancangan Felda bermula 1983.

Md Nor Salleh, 67, berkata sukar digambarka­n kepayahan yang dilaluinya bersama isteri Siti Fatimah Che Daud, 64, ketika mula bergelar peneroka, kerana terpaksa membersihk­an hutan belantara dan hidup dalam keadaan serba kekurangan.

“Namun, kerajaan melalui felda banyak membantu dengan menyediaka­n skim pinjaman, kemudahan pelajaran anak-anak, malah ada kedai runcit menggunaka­n kaedah ‘ambil dulu bayar kemudian’.

“Semua kemudahan yang disediakan Felda ini sangat membantu meringanka­n beban kewangan peneroka, dan hasilnya kami mampu hidup selesa di sini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan geran itu oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sini, semalam.

Seorang lagi peneroka Abdul Razak Ghani, 68, berkata dia berasa bertuah kerana terpilih menyertai Felda Neram 2 pada 1983, kerana nekad mahu membina kehidupan yang lebih baik untuk keluargany­a.

“Sebelum masuk Felda, saya telah bekerja di ladang sawit swasta di Sungai Tong, Setiu. Sebaik sahaja tahu kerajaan mahu membuka satu lagi penempatan Felda di Kemaman, saya terus memohon kerana telah melihat kejayaan Felda di beberapa lokasi lain sebelum itu,” katanya.

Abdul Razak berkata kehidupan mereka di Felda lengkap dengan kemudahan termasuk sekolah, masjid, dewan orang ramai dan kehidupan sosial yang harmoni bersama jiran tetangga. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia