Utusan Borneo (Sarawak)

KPM berusaha keras selesai masalah sekolah tumpang di Sabah: Radzi

-

Kementeria­n Pendidikan (KPM) sedang berusaha sedaya upaya menyelesai­kan masalah sekolah tumpang membabitka­n 23 sekolah di Sabah.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata 20 daripada sekolah berkenaan telah mendapat peruntukan RM706 juta untuk pembinaan bangunan sekolah masing-masing, manakala peruntukan bagi tiga sekolah lagi sedang diusahakan.

Beliau berkata Sabah mempunyai lebih banyak sekolah tumpang berbanding lain-lain negeri dan ini menjadi cabaran infrastruk­tur bagi KPM.

“Pihak kementeria­n akan memberi tumpuan terhadap pembinaan sekolah yang tidak siap mengikut jadual. Apa yang penting adalah kita pastikan anak-anak kita mendapat kemudahan pendidikan terbaik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Libaran dekat sini semalam.

Menurutnya SMK Libaran merupakan salah satu daripada 23 sekolah itu yang baharu siap setelah lebih 22 tahun, dengan 597 pelajarnya menumpang di Sekolah Kebangsaan Sungai Padas, kira-kira 3km dari sekolah itu.

Sekolah berkenaan yang terletak kira-kira 25km dari sini, dijadual beroperasi mulai 1 Julai ini, melibatkan pelajar Tingkatan 1 hingga 5.

Sementara itu Radzi berkata pihak kementeria­n sedang berbincang dengan pelbagai pihak mengenai bagaimana cara untuk meningkatk­an program pendedahan dan kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar.

“Anak-anak kita perlu menyedari kita bertanggun­gjawab menjaga khazanah alam semula jadi untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Semasa lawatannya ke Sandakan, Radzi berkata beliau turut berpeluang melawat Pusat Pemulihara­an Orang Utan Sepilok dan Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo serta Pusat Penemuan Hutan Hujan bagi mendapat maklumat lanjut mengenai usaha mencintai alam sekitar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia