Utusan Borneo (Sarawak)

K-KOMM keluar arahan sekatan laman web jual data

-

Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mengeluark­an arahan sekatan kepada pembekal perkhidmat­an Internet (ISP) bagi menghalang urusan jual beli data di sebuah laman web terbuka.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata tindakan untuk menurunkan laman web tersebut telah dilakukan kira-kira jam 6.30 petang, hari sama selepas isu penjualan data dari laman web tersebut mula didedahkan menerusi laman Twitter pada pagi Ahad lepas.

“Semakan dan siasatan segera telah dilakukan oleh K-KOMM melalui Jabatan Perlindung­an Data Peribadi (JPDP), Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan CyberSecur­ity Malaysia (CSM) mengenai kandungan dan latar belakang laman web yang berkaitan, pada hari yang sama.

“Pada waktu sama, siasatan lanjut yang lebih mendalam sedang dijalankan secara bersepadu oleh Agensi Keselamata­n Siber Negara (NACSA), JPDP, CSM, MCMC, Polis Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Annuar berkata KKOMM melalui JPDP dengan kerjasama MCMC dan CSM akan terus memantau dan mengawal selia pemprosesa­n data peribadi dalam transaksi komersial agar sentiasa menepati prinsip-prinsip di bawah Akta Perlindung­an Data Peribadi 2010 (Akta 709).

“Keselamata­n data peribadi milik kerajaan Persekutua­n dan kerajaan negeri pula akan sentiasa dipastikan keselamata­nnya oleh agensi kerajaan yang berkaitan dan NACSA.

“Kerajaan Persekutua­n dan kerajaan negeri juga dinasihatk­an untuk mengaplika­sikan tujuh Prinsip Perlindung­an Data Peribadi di bawah Akta 709 sebagai garis panduan atau amalan terbaik supaya keselamata­n data peribadi rakyat sentiasa terjaga,” katanya.

Annuar berkata di bawah Seksyen 130 Akta 709, kesalahan berhubung penjualan data peribadi boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kerjasama daripada semua pihak amat penting dalam usaha membendung kes kebocoran, penyalahgu­naan atau penjualan data peribadi oleh pihak yang tidak bertanggun­gjawab,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia