Utusan Borneo (Sarawak)

Haaland aset penting buat Man City

-

Manchester City masih menunggu detik kejayaan Liga Juara-Juara mereka, tetapi dengan memenangi perebutan untuk menandatan­gani Erling Haaland menjadikan diri mereka sebagai skuad pilihan untuk bakat besar Eropah.

Fenomena penjaring gol berusia 21 tahun itu mempunyai pilihan kelab-kelab terkemuka di benua dengan klausa pembelian berjumlah 60 juta euro, meninggalk­an Borussia Dortmund jauh di bawah nilai pasarannya.

Sebagai perbanding­an, Liverpool bersedia untuk membelanja­kan sehingga 100 juta euro untuk pemain Uruguay, Darwin Nunez dari Benfica.

Real Madrid mahu Haaland di Bernabeu musim depan, Barcelona memburunya sebagai pengganti kepada Lionel Messi, manakala Bayern Munich berhasrat untuk memperoleh­i pemain saingan Bundesliga mereka.

Walau bagaimanap­un, pemain Norway itu sebaliknya akan berbaris di City musim depan, sama seperti bapanya Alfie-Inge antara 2000-2003 ketika era yang sangat berbeza untuk kelab itu.

“Pertama, sebahagian daripadany­a kerana ayah saya,” kata Haaland ketika ditanya mengapa dia memilih City. “Saya dilahirkan di England, saya telah menjadi peminat City sepanjang hidup saya. Saya tahu banyak tentang kelab ini.

“Di sini saya rasa seperti di rumah dan juga boleh berkembang dan mendapatka­n yang terbaik daripada persembaha­n saya di City.”

Ketibaan pemilik kaya dari Abu Dhabi telah lama mengubah nasib City, dengan anak buah Pep Guardiola kini telah memenangi empat gelaran Liga Perdana dalam lima musim.

Tapi Haaland adalah seseorang yang diperlukan City untuk mengisi kekosongan jika mereka ingin mencapai peringkat berikutnya — seorang penyerang bintang super.

City telah beraksi dengan mantap dalam dua musim tanpa pemain nombor sembilan yang unggul.

Percubaan untuk memperoleh­i Harry Kane sebagai pengganti Sergio Aguero gagal pada musim panas lalu dan ia memusnahka­n satu lagi peluang City untuk mencapai kejayaan Liga Juara-Juara.

Haaland, bagaimanap­un telah menjaringk­an 23 gol dalam 19 penampilan Liga Juara-Juara untuk Salzburg dan Dortmund.

Kini dia perlu dipantau sama ada dia mampu mengikuti sistem Guardiola.

Gelaran liga yang dimenangi dengan Samuel Eto’o di Barcelona, Robert Lewandowsk­i di Bayern Munich dan Aguero semasa mula di City menolak tanggapan bahawa Guardiola tidak dapat menampung pemain nombor sembilan.

“Saya fikir saya boleh berkembang di bawah Pep dan di kelab ini. Saya rasa saya boleh menjadi lebih baik dalam banyak perkara dan mudah-mudahan saya dapat menjaringk­an banyak gol,” kata Haaland.

Tetapi kisah kejayaan City barubaru ini telah diraih menerusi kecemerlan­gan bersama.

Riyad Mahrez merupakan penjaring terbanyak mereka musim lalu dengan 24 gol, mendahului Kevin De Bruyne (19), Raheem Sterling (17) dan Phil Foden (14).

Tidak semua pemindahan bintang super telah berjaya seperti yang dirancang oleh Guardiola di masa lalu.

Ketibaan Haaland telah mencetuska­n perbanding­an dengan musim hambar Zlatan Ibrahimovi­c di Barcelona pada tahun 2009/10.

Dan Jack Grealish, walaupun menelan belanja City sebanyak 100 juta pound, menjadikan­nya pemain paling mahal dalam sejarah bola sepak Inggeris, menghabisk­an kebanyakan musim sulungnya di bangku simpanan.

Tetapi dengan mendapatka­n salah seorang pemain paling hangat di Eropah, City juga melihat masa depan melangkaui Guardiola, yang kontrak semasanya tamat pada tahun 2023.

“Perkembang­annya luar biasa, dia masih berusia 21 tahun” kata pengarah bola sepak City, Txiki Begiristai­n.

“Tahun-tahun terbaiknya terbentang di hadapannya, dan kami yakin dia boleh lebih mantap dengan Pep.”

Sekarang Haaland dan Guardiola akan berkongsi sekurang-kurangnya satu musim dan cuba memenuhi keinginan City untuk gelaran Liga Juara-Juara yang pertama. — AFP

 ?? ?? HAALAND
HAALAND

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia