Utusan Borneo (Sarawak)

Tukang besi miliki parang dalam kereta kena lima tahun

-

KUCHING: Seorang tukang besi dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah parang.

Hakim Maris Agan memerintah­kan hukuman penjara bagi tertuduh, Wong Pook Chai, 28, untuk dikuatkuas­akan semalam.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun jika sabit kesalahan.

Berdasarka­n pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki sebilah parang yang disenaraik­an sebagai senjata berjadual tanpa kebenaran sah yang diletakkan di dalam kereta kompak milik tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukann­ya pada 5 Jun lalu, sekitar jam 8 malam di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tabuan Melayu di sini.

Fakta kes mendedahka­n tertuduh ditangkap selepas satu laporan polis dibuat berhubung kes pecah rumah membabitka­n seorang wanita Serani (pengadu) pada 1 Jun lalu.

Semasa pengadu balik ke rumah, pengadu menyedari pintu gelongsor bahagian tepi rumahnya terbuka.

Pengadu membuat pemeriksaa­n dan mendapati tiga bilik berada dalam keadaan berselerak dan terdapat barang-barang yang hilang sehingga mangsa mengalami kerugian sekitar RM15,800.

Hasil siasatan kes membawa kepada tertuduh dan tertuduh dilapor melarikan diri serta bertindak agresif sehingga kekerasan minimum terpaksa diambil oleh pihak polis ketika melaksanak­an tangkapan pada 5 Jun lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tan Chuan Yi memohon tertuduh dijatuhi hukuman berat memandangk­an tertuduh cuba melarikan diri apabila ditahan oleh pihak polis.

Menurut DPP Tan juga, parang berkenaan dijumpai di dalam kereta tertuduh bersama beberapa barang curi lain, antara adalah tiga utas jam tangan mewah, empat unit telefon pintar, kad ATM, seutas rantai emas dan sebentuk cincin.

Untuk perbuatan itu, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret semalam, atas tiga pertuduhan kerana memiliki barang curi yang juga dilakukann­ya dalam kejadian sama.

Tertuduh mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan dan Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan tertuduh untuk dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Sementara bagi kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958, tertuduh dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau sebulan penjara bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan di Mahkamah Majistret dikendalik­an oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.

 ?? ?? MENGAKU SALAH: Selain hukuman penjara lima tahun, tertuduh juga didenda RM6,000 kerana memiliki barang curi.
MENGAKU SALAH: Selain hukuman penjara lima tahun, tertuduh juga didenda RM6,000 kerana memiliki barang curi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia